Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong

KUALA LUMPUR – Tempoh bekerja sehingga 33 jam dalam kalangan doktor disifatkan sebagai tidak adil dan tidak munasabah.

Ini kerana, waktu bekerja doktor seperti itu akan menjejaskan khidmat mereka kepada pesakit, kerana perkhidmatan yang diberikan mungkin terjejas akibat mereka keletihan, kata Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka).

Memetik laporan sebuah akhbar tempatan, Khoo mempersoalkan, bagaimana keadaan seperti itu masih boleh menjadi kebiasaan dalam perkhidmatan doktor kerajaan.

“Seorang doktor boleh memulakan syifnya pada pukul 8 pagi hingga 5 petang pada hari yang sama, menandakan sembilan jam dia bekerja.

“Selepas ini, mereka perlu bersiap sedia sehingga pukul 8 pagi keesokkan harinya apabila mereka terus menjalani rutin harian sehingga pukul 5 petang, (untuk) sekurang-kurangnya 33 jam.

“Tempoh yang sangat panjang ini pasti menjejaskan kebajikan doktor, dengan ada yang kehilangan nyawa akibat keletihan bekerja,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan gesaan pertubuhan perubatan apabila mahu menghapuskan tempoh perkhidmatan yang panjang susulan kejadian seorang doktor di hospital kerajaan di Pulau Pinang yang ditemui mati di dalam keretanya di tempat letak kereta hospital tempat dia berkhidmat.

Insiden itu menyebabkan adik mangsa yang merupakan seorang pegawai perubatan di hospital kerajaan lain di Pulau Pinang, meletak jawatan serta-merta.

Dia percaya kematian kakaknya berpunca daripada kerja berlebihan dan mengalami keletihan akibat kurang rehat.

Mengulas perkara berkaitan, Khoo turut bertanyakan berapa banyak kekosongan jawatan yang disenaraikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah diisi.

Memetik jawapan bertulis yang diperoleh di portal parlimen, kementerian berkenaan memaklumkan, terdapat 8,470 jawatan pakar dan 34,922 jawatan pegawai perubatan.

“Bagaimanapun, persoalannya, berapa banyak jawatan ini telah diisi?” ujarnya.

Beliau turut memetik jawapan bertulis KKM di Dewan Negara awal tahun ini yang mengatakan, purata 199 pakar telah meletak jawatan setiap tahun sejak 10 tahun lalu.

“Ini bermakna hampir 2,000 pakar telah meletak jawatan dalam tempoh ini,” tambahnya.

Khoo turut menggesa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mencari penyelesaian segera terhadap kedua-dua perkara itu.

“Dzulkefly sebelum ini berkata, beliau ada urusan yang belum selesai selepas menjawat jawatan Menteri Kesihatan tahun lepas.

“Saya harap urusan yang belum selesai ini termasuk mengatasi kekurangan pakar dan meningkatkan kebajikan doktor,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here