Salah seekor daripada ikan arapaima yang ditangkap di Masjid Tanah, 11 Oktober lalu. Foto : Tular

KUALA LUMPUR – Lima anggota Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) yang cedera dilibas arapaima di Masjid Tanah, Melaka pada 11 Oktober lalu kembali pulih dan sudah bekerja semula.

Pengarah Perikanan Negeri Melaka, Saufi Affandi Talib berkata, dalam kejadian itu dua anggota telah dilibas di bahagian kaki manakala seorang lagi dihentam di bahagian dada dengan kepala ikan itu dan tiga anggota lain hanya cedera ringan.

“Seorang anggota yang dilibas itu telah menerima rawatan sebagai pesakit luar dan anggota yang terkena hentaman pula telah dibenarkan pulang selepas pemeriksaan lanjut.

“Kami berharap kes viral ini akan meningkat kesedaran orang ramai tentang risiko ikan invasif ini bukan sahaja kepada ekosistem tetapi keselamatan penduduk,” katanya dalam wawancara bersama MalaysiaGazette, hari ini.

Saksikan wawancara mengenai bahaya arapaima kepada hidupan marin dan manusia esok dalam Podcast MG jam 3 petang.

Dalam wawancara itu, DOF berkongsi pengalaman anggotanya menangkap tiga ekor ikan arapaima yang salah satunya seberat 200 kilogram di perairan Melaka.

Saufi Affandi berkata, ikan arapaima merupakan ikan spesies invasif kerana tabiatnya yang agresif dan membiak dengan cepat.

“Jika terasa diancam, semestinya dia akan menyerang. Mungkin ramai lagi tidak menyedari ancaman yang arapaima bawa kepada ekosistem tempatan.

“Habitat arapaima bukan di sini. Ikan ini secara semulajadi makan kecil yang lain termasuk ikan tempatan di negara kita, krustacea malahan haiwan kecil lain,” tambahnya.

Oleh itu, populasi ikan tempatan akan berkurangan dan akhirnya menjejaskan biodiversiti perairan kita, jelasnya. 

Menurut beliau, pemindahan tiga ikan arapaima itu ke Zoo Negara merupakan satu usaha untuk memastikan ekosistem semula jadi di sini tidak terganggu oleh spesies asing yang memusnahkan persekitaran asli.

“Saya faham penduduk kampung di situ sedih kerana ikan arapaima yang menjadi tarikan di tempat mereka mati dalam proses pemindahan.

“Tetapi, kami berharap kecederaan yang dialami anggota DOF itu dijadikan iktibar tentang bahayanya ikan arapaima selain meningkatkan kesedaran masyarakat tentang ancaman habitat itu kepada ekosistem perairan tempatan,” katanya.

Pihaknya juga akan terus komited untuk menggiatkan program kesedaran berkaitan pematuhan kepada Peraturan- Peraturan Perikanan (Pindaan) 2024 dalam kalangan penduduk tempatan tentang bahaya memelihara spesies ikan invasif ini supaya mereka lebih bertanggungjawab dalam menjaga alam sekitar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast