Foto Ihsan PGA

KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan merampas  ganja dan pil yaba bernilai RM45,500 dalam sekatan jalan raya (SJR) di Chabang Empat Salam di Rantau Panjang, Kelantan, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata,  Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA9) Briged Tenggara mengadakan serbuan menerusi Op Taring Wawasan pada jam 11 malam,  turut menahan tiga lelaki tempatan, masing-masing berusia 22, 24 dan 27 tahun.

“Perbuatan itu terbongkar selepas kami  menahan sebuah kereta jenis Ford Fiesta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati lebih 5kg dadah jenis ganja yang bernilai RM15,500 disorokkan dalam but belakang kereta.

“Anggota kami juga telah menyerbu sebuah rumah di Kampung Jeram Perdah, Alor Pasir jam 4 pagi dan telah menjumpai 2,000 biji pil yaba bernilai RM30,000 disembunyikan di luar rumah,” katanya.

Barang rampasan.

 

Turut dirampas sebuah kereta jenis Ford Fiesta bernilai RM30,000, lima unit telefon bimbit (RM16,000) dan wang tunai RM600.

“Nilai rampasan keseluruhan ialah berjumlah RM92,1000,” jelasnya.

Hasil saringan awal ujian air kencing juga menunjukkan dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan tetrahydrocannabinol.

Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua suspek telah diserahkan kepada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya.

Tambahnya, Kes disiasat bawah Seksyen 39B, Seksyen 15(1) dan Seksyen 7 Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here