Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan disyor supaya memperkenalkan jualan tiket penerbangan domestik pada harga “Rahmah” seperti barangan keperluan asas yang lain.

Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Anak Mongin (GPS) berkata, langkah itu dilihat perlu memandangkan harga tiket penerbangan bagi destinasi ke Sabah dan Sarawak semakin mahal serta membebankan rakyat.

“Barangan makan ada jualan Rahmah, kenapa tak ada jualan tiket kapal terbang Rahmah daripada kerajaan Madani?

“Adakah menteri yang jaga (kementerian) pengangkutan dan kerajaan Malaysia Madani bersekongkol dengan tauke kapal terbang ini untuk mencekik rakyat seperti kita termasuk Ahli Parlimen (dari Sabah,Sarawak),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah perbahasan Belanjawan 2025 oleh rakannya daripada GPS, Ahli Parlimen Sri Aman, Doris Sophia, di Dewan Rakyat hari ini.

Doris kemudian bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Dalam masa yang sama, Willie turut menyifatkan harga tiket penerbangan domestik dari Sarawak dan Sabah mahal tahap ‘gaban’ yang baginya tidak berbaloi apabila penerbangan daripada kedua-dua negeri itu sering mengalami gangguan sehingga mengakibatkan waktu berlepas ditunda.

“Sistem penerbangan dalam negara kita yang dilihat semakin teruk, tambang yang mahal tahap gaban dan penyakit delay (tunda penerbangan) yang melarat tidak terubat.

“Kalau pesawat Malaysia Airlines kelas ekonominya dari Kuching ke Kuala Lumpur sehala boleh mencecah lebih RM1,000 dan kelas perniagaan boleh mencecah sehingga lebih RM2,000 sehala, apatah lagi bila musim perayaan, hujung minggu serta bila tempahan dibuat saat akhir.

“Selain itu kekerapan penerbangan juga dikurangkan maka menyebabkan pesawat sering penuh, Air Asia
juga sama tambang penerbangan mahal, penyakit tunda penerbangan juga terlampau kerap berlaku, sekarang perkataan delay tidak lagi digunakan tapi diganti dengan istilah retime (diubah waktu).

“Apa bezanya delay dengan retime, saya kurang pasti. Yang pasti yang pasti penerbangan ini lambat kadang-kadang sampai lima jam,” jelasnya.

Di samping itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap tahap keselamatan penerbangan susulan beberapa insiden pesawat yang terpaksa berpatah balik ke terminal.

Willie yakin, kebimbangan itu bukan hanya dirasai beliau sebaliknya rakyat secara keseluruhan.

“Timbul soalan di kepala kita adakah kapal-kapal terbang sudah tidak selamat diguna disebabkan terlampau tua atau adakah disebabkan tidak cukup tenaga kepakaran sehingga aspek teknikal dan keselamatan kapal-kapal terbang menjadi masalah.

“Saya harap pihak kementerian tidak ambil remeh isu ini kerana rakyat di luar sana termasuk saya sendiri amat risau perkara ini memandangkan penduduk di Sabah, Sarawak nak ke semenanjung menggunakan kapal terbang.

“Saya merayu kementerian jika perlu dirombak seluruh sistem penerbangan kita buatlah, cari kaedah lebih mantap bagi meningkatkan sistem penerbangan kita,” tambahnya.

Sebagai rekod pada September lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan Jemaah Menteri bersetuju untuk meneruskan dua inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan.

Katanya, kedua-dua inisiatif tersebut adalah bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan pengekalan harga siling tiket penerbangan RM599 pada musim perayaan. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here