Bandaraya Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 22 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menafikan kejadian bunyi dentuman dan gegaran yang berlaku di Ipoh semalam berpunca daripada pesawat pejuang.

“TUDM ingin menegaskan tiada sebarang penerbangan pesawat pejuang TUDM yang dilaksanakan di sekitar kawasan tersebut pada masa kejadian, termasuk kejadian pesawat asing yang dikatakan menceroboh ruang udara negara,” jelas TUDM dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, TUDM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan siasatan dan mengenalpasti punca sebenar kejadian.

Semalam, Ipoh gempar apabila satu gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan di sekitar kawasan itu sekitar jam 11 pagi.

Gegaran yang berlaku dalam tempoh beberapa saat itu turut disusuli dengan bunyi dentuman yang kuat hingga mengakibatkan orang ramai terkejut dan cemas.

Gegaran terbabit didakwa dapat dirasai di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Chemor, Stadium Perak, Meru Raya, Falim dan Gugusan Manjoi.

Selain itu, kejadian sama dirasai penduduk di Tanjung Rambutan, Klebang, Jelapang, Tambun, Silibin serta pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Terowong Menora.

Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, kejadian seumpama itu berkemungkinan berpunca daripada ledakan sonik.

Jelasnya lagi, ledakan sonik adalah bunyi kuat berpunca dari gelombang kejutan yang dicipta sebarang objek sedang bergerak melalui udara dan mencapai kelajuan lebih pantas berbanding kelajuan bunyi.

“Ledakan sonik ini menghasilkan tenaga bunyi yang sangat tinggi kerana pesawat terbang pada kelajuan supersonik.

“Bunyi dentuman sonik ini tidak menyebabkan apa-apa kesan kepada pesawat, malah tiada berlaku letupan pun di udara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

Polis siasat bunyi letupan, gegaran di Ipoh

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here