Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR – Sebanyak 13.8 juta liter diesel bersubsidi dijual secara haram berjaya dirampas dengan nilai dianggarkan sebanyak RM31 juta melalui Ops Tiris 3.0.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, jumlah rampasan itu rekod daripada Januari hingga 19 Oktober lepas.

“Gerak kerja penguatkuasaan dilaksanakan melalui Ops TIRIS yang telah bermula pada bulan Mac 2023 dan berdasarkan statistik Ops TIRIS 3.0, Januari hingga 19 Oktober 2024, KPDN telah melakukan 30,634 pemeriksaan dan menghasilkan sebanyak 1,561 kes melibatkan penyelewengan diesel.

“Selain itu, setakat Januari hingga Oktober 2024, KPDN telah membuka sebanyak enam kertas siasatan dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Anak Gingkoi (GPS) yang memintanya menyatakan sama ada KPDN bercadang mengambil tindakan lebih tegas bagi membanteras penyelewengan diesel bersubsidi.

Selain itu, Armizan berkata sebanyak enam kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada aktiviti haram setakat bulan ini.

“Selain itu, kita juga melaksanakan tindakan-tindakan yang melibatkan aspek pengurusan risiko,” katanya lagi.

Menurut beliau, KPDN akan terus memperkasa kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain yang mempunyai bidang kuasa berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Ops Tiris.

“KPDN juga telah menempatkan pegawai penguat kuasa secara pentadbiran di lapan pintu masuk serta melaksanakan pembatalan dan penggantungan lesen barang kawalan berjadual melibatkan penjualan diesel pada peringkat pengilang, pemborong dan runcit dan pada masa sama penguatkuasaan ketat terhadap permit barang kawalan berjadual adalah merupakan salah satu strategi,” jelasnya.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here