Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menunjukkan barangan rampasan selepas sidang media mengenai perkembangan terbaharu GISBH bersama Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat , Jabatan Agama Islam Selangor dan Jabatan Pendaftaran Negara di Mess Pegawai Kanan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH bersama 21 individu lain akan dituduh di Mahkamah Selayang, pagi ini mengikut mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, selain Datuk Nasiruddin Mohd. Ali, isterinya Azura Md Yusof dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi juga akan didakwa atas pertuduhan yang sama.

Menurut beliau, pertuduhan itu dibuat selepas kertas siasatan kes berkenaan dirujuk dan ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) petang tadi.

“Semua OKT (orang kena tuduh) akan dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang pada pagi Rabu,” katanya kepada media.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2024/10/04/reman-24-individu-termasuk-ceo-gisbh-dilanjutkan-seminggu-lagi/

Pada 16 Oktober lalu, Nasiruddin antara 16 individu yang ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zin berkata, sejak Op Global dilancarkan pada 11 September lalu, seramai 58 individu ditahan di bawah SOSMA termasuk 16 pengurusan tertinggi GISBH.

Mereka antara 415 individu yang ditahan dalam Op Global Fasa 1 hingga Fasa 4.

Selain itu, seramai 35 individu masih dalam tahanan reman manakala 273 orang dijamin, 37 individu dibebaskan tanpa syarat, dua diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah dan seorang lagi kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here