SELAYANG – Kira-kira enam dari 22 suspek termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd, Datuk Nasiruddin Mohd Ali yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini memerlukan rawatan penyakit kencing manis.

Peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili tertuduh menyambut baik kelonggaran yang diberikan Hakim Lailatul Zuraida Harron@Harun selepas mengarahkan mana-mana tertuduh dalam kes GISBH diberikan rawatan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd, Datuk Nasiruddin Mohd Ali tiba di Mahkamah Sesyen Selayang. Foto AIZAT ZAINAL, 23 OKTOBER 2024.

“Ada tertuduh yang tidak sihat, kita sudah pun mendapat kerjasama pihak polis dan mahkamah pun telah menasihatkan, siapa yang tidak sihat untuk dibawa untuk mendapat rawatan.

“Mereka telah lama ditahan, hampir dua bulan ditahan, keadaan mereka yang tua, yang sakit, yang ada penyakit.

“Beberapa orang khususnya wanita, lima atau enam orang wanita yang berumur dan juga mempunyai penyakit kronik seperti penyakit kencing manis termasuk Datuk Nasiruddin,” katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah di sini, hari ini.

Sembilan wanita ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd,dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini. Foto AIZAT ZAINAL, 23 OKTOBER 2024.

Terdahulu Rosli bersama pasukan pembelaan mewakili 22 individu termasuk CEO GISBH yang didakwa mengikut Akta 130V (1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen, di sini, pagi tadi.

Antara pasukan pembelaan ialah Muhammad Zaim Rosli, M.Hafiz Zainol Abidin, Boestamam Ahmad dan Dorina Abdullah.

Mengikut pertuduhan, kesemua 13 lelaki dan sembilan wanita itu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di 33-B, Jalan Desa 1/1, Bandar Country Homes Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.

Prosiding pendakwaan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani, Datuk Nazran Mohd Sham, Lina Hanini Ismail dan Siti Hajar Mat Radzi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here