Sabah Maju Jaya di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, Sabah. Foto FAREEZ FADZIL, 30 SEPTEMBER 2024.

KOTA KINABALU – Agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berteraskan tiga sektor utama termasuk pertanian, perindustrian dan pelancongan dimanfaatkan untuk memacu dan memulihkan semula ekonomi Sabah yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, kira-kira tiga tahun lalu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, meskipun beliau sendiri terlantar di Hospital Queen Elizabeth di sini kira-kira seminggu selepas mengangkat sumpah jawatan namun beliau tetap komited melahirkan agenda terbaik untuk rakyat Sabah.

“Itulah cabaran yang saya hadapi apabila mengambil tampuk kerajaan negeri, seminggu selepas saya mengangkat sumpah, saya dimasukkan ke hospital selama dua minggu.

“Saya juga memikirkan apa yang terbaik untuk Sabah, selepas pandemik Covid-19, kita terpaksa memulihkan ekonomi dan merancang pembangunan untuk negeri dan rakyat.

“Semuanya difikirkan dan di sanalah timbul saya memperkenalkan satu hala tuju kerajaan kerana saya fikir ini sahaja boleh memulihkan ekonomi Sabah,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama MalaysiaGazette di pejabatnya di Menara Kinabalu baru-baru ini.

Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkenaan pentadbiran kerajaan negeri dan isu-isu politik di Kota Kinabalu, Sabah. Foto FAREEZ FADZIL, 30 SEPTEMBER 2024.

Ketika menceritakan detik cemas mengemudi Kerajaan Negeri Sabah apabila berlaku gelombang ketiga penularan Covid-19 selepas Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16), Hajiji bagaikan hilang kata-kata, ditambah pula dengan ketidaktentuan politik ketika itu.

“Selepas itu, saya tidak boleh berfungsi dengan sepatutnya selama hampir dua bulan, pegawai pun dikatakan tidak boleh jumpa saya dan saya pun tidak boleh sewenang-wenangnya jumpa pegawai ataupun orang-orang kenamaan lain.

“Bayangkan keadaan ekonomi merudum kerana premis perniagaan waktu itu ditutup semuanya termasuk hotel, pergerakan kita dikawal, serba-serbi cukup mencabar.

“Saya adalah satu-satunya ketua menteri yang menghadapi cabaran begitu getir pada waktu itu disebabkan Covid-19 dan keadaan politik yang tidak stabil, sama ada di peringkat nasional mahupun negeri,” katanya.

Selain tiga agenda utama SMJ, ketika dalam tempoh kuarantin, beliau masih sempat memikirkan untuk membangunkan modal insan, pendidikan, kesejahteraan rakyat, jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

“Saya rasa (SMJ) sudah cukup menyeluruh untuk membangunkan Sabah dan juga rakyatnya. Kita gunakan cogan kata negeri (SMJ), apabila saya tengok negeri-negeri di Semenanjung dan Sarawak, semua mempunyai slogan atau cogan kata.

“Contohnya di Sarawak, (ada) Maju dan Makmur, jadi saya pilih SMJ untuk memartabatkan jata negeri kita.

“Mungkin bapa-bapa pemimpin kita terdahulu memilih SMJ ini sebagai satu kata-kata agak keramat untuk kita ikut, menaikkan semangat orang kita supaya suka dan menyumbang kepada kemajuan Sabah, (sebab itu) kita pilihan SMJ,” katanya.

AGENDA SMJ BERI IMPAK PELABURAN

Dalam perkembangan sama, Hajiji boleh berbangga apabila agenda SMJ mula menunjukkan impak positif dengan menerima pelaburan dalam dan luar negara berjumlah RM28.93 bilion sepanjang empat tahun pentadbiran beliau.

“Kalau kita perhatikan, banyak pencapaian yang telah kita capai selama empat tahun ini, tidak berlaku (pentadbiran) sebelum ini, maknanya perancangan-perancangan yang kita buat itu telahpun menampakkan hasil.

“Hasil kutipan meningkat, pelaburan datang pun banyak, bukan sahaja dalam negeri tetapi luar negara dan ini telah memberi banyak peluang kepada rakyat kita.

“Contohnya, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), menerima dua pelabur dari luar negara iaitu syarikat Kibing Group dari China dan SK Nexilis dari Korea yang memberi lebih 4,000 peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan di Sabah,” katanya.

Jumlah pelaburan asing dan domestik meningkat sepanjang empat tahun pentadbirannya.

Selain itu, katanya, ribuan peluang pekerjaan dapat diwujudkan, tidak termasuk di Taman Perindustrian Minyak dan Gas (SOGIP) di mana kawasan perindustrian itu sudah menerima permohonan daripada pelabur asing dan dalam negara.

“Saya yakin kalau bermula sekurang-kurangnya bermula awal tahun hadapan kerana perjanjian telah dimeterai dengan syarikat-syarikat ini, ada dari Singapura, United Kingdom, Semenanjung, Sarawak dan Sabah sendiri.

“Ini satu perkembangan yang baik dan boleh menjana ekonomi Sabah dan juga rantaian ekonomi, peluang akan mengalir kepada banyak sektor serta rakyat kita termasuk peluang pekerjaan yang banyak nanti,” katanya.

SABAH PENGELUAR PRODUK TENAGA DIPERBAHARUI

Menurut Presiden GRS itu, idea SMJ juga semakin diyakini pelabur dengan menjadikan Sabah sebagai destinasi pengeluar produk yang berasaskan tenaga diperbaharui atau tenaga hijau.

“Ini jadi fokus kita untuk membina tenaga boleh baharu daripada solar, hidroelektrik dan hujung tahun lepas Perdana Menteri telah merasmikan pecah tanah projek hidroelektrik di Ulu Padas, Tenom dan ia akan siap menjelang 2029 nanti.

“Ia bersama dengan empangannya yang boleh menyalur air sebanyak 6,000 juta liter sehari untuk jangka masa panjang, antara 80 hingga 100 tahun.

“Selain tenaga elektrik, ia boleh menyelesaikan masalah air di Sipitang, Tenom, Beaufort, Kimanis, Putatan dan terus ke Kota Kinabalu.

“Kalau projek ini sudah siap, kita tidak punya masalah lagi mengenai air dan elektrik,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri Sabah juga mempunyai satu lagi projek baharu iaitu Blue Economy (Ekonomi Biru) di mana tenaga diperbaharui itu boleh dihasilkan daripada laut perairan negara.

“Ia bukan semata-mata mengenai ikan tetapi ada 10 industri yang boleh kita dapati daripada lautan kita termasuk Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC). Kita boleh mengeluarkan 75 peratus sektor ini daripada laut.

“Kalau ini dapat kita lakukan dalam lima tahun akan datang, kita boleh mengeluarkan 20,000 megawatt (elektrik) daripada lautan kita, haba laut yang panas dengan haba laut yang sejuk, ini sudah dikaji oleh juru perunding kita.

“Malah kita berusaha untuk membuat hubungan kerana Jepun sudah ada, Korea dan negara di Amerika Syarikat dan Eropah, ini antara masa depan Sabah nanti, sumber baharu kepada Sabah,” katanya.

NOKTAHKAN MISKIN TEGAR

Sementara itu, agenda SMJ turut berjaya menoktahkan kemiskinan tegar melalui program pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat pada akhir Julai lalu.

“Sabah mempunyai ramai miskin dan miskin tegar, kita berjaya menoktahkan 22,000 miskin tegar namun ia tidak bermakna tiada miskin tegar lagi, kita noktahkan senarai yang telah diberikan oleh agensi Persekutuan dan negeri.

“Secara tidak langsung kita juga meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar lebih dari RM1,200 di Sabah,” katanya.

RUMAH MESRA SMJ BANTU RAKYAT MILIKI KEDIAMAN SENDIRI

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri Sabah turut komited untuk menaikkan taraf hidup dengan rakyat menerusi pemberian rumah mesra SMJ membabitkan 1,500 unit di seluruh Sabah tahun ini.

“Ini akan menjadi proses dan perjuangan berterusan kerajaan negeri untuk membantu rakyat ini, kita bagi mereka rumah mesra SMJ, tahun hadapan kita akan bagi 3,000 rumah.

“Di samping itu, kerajaan negeri menyediakan perumahan-perumahan lain untuk mereka yang mempunyai pendapatan rendah,” katanya.

“Selain itu, kita juga akan memberi ruang untuk membantu mereka mengusahakan perniagaan kecil-kecilan, jualan di kampung-kampung ataupun di pekan-pekan supaya mereka boleh meningkatkan pendapatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here