RSN Rayer

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) hari ini mempersoalkan motif kerajaan di sebalik usaha menggubal akta baharu khusus berkaitan hukuman tahanan di rumah.

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer (DAP) berkata, cadangan berkenaan kini dilihat mencetuskan polemik bagi yang bimbang tujuannya diwujudkan hanya untuk menyebelahi banduan tertentu sahaja.

“Ada desas desus atau bisikan orang ramai bahawa RUU ini sedang digubal untuk banduan-banduan tertentu. Saya tidak mahu menyatakan nama, tetapi nama (Datuk Seri) Najib Tun Razak diulangi beberapa kali.

“Saya sebagai backbencher hanya ingin menyeru kerajaan supaya waspada dengan cadangan ini kerana Rang Undang-Undang (RUU) Akta tahanan di rumah sudah memulakan banyak polemik di luar sana,”katanya Ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.

Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan menjelaskan penggubalan undang-undang itu secara terperinci bagi mengelakkan timbulnya persepsi negative pada masa akan datang.

“Kalau kerajaan ingin mengambil pendekatan hanya orang-orang tertentu sahaja yang layak ditahan di rumah, perkara ini perlu dijelaskan dengan lebih teliti mengenai siapa yang layak untuk ditahan atau menjalani tempoh tahanan di rumah kerana kita tidak mahu perbezaan di antara dua darjat berlaku di negara kita lagi,” tambah beliau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2025 berkata kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.

Katanya, melalui hukuman itu pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan.

Akta baharu membabitkan hukuman tahanan di rumah itu tertakluk dalam Ikhtiar 53: Peluang Kedua dalam ucapan belanjawan yang dibentang Jumaat lalu.

Sementara itu, Rayer membantah penahanan 58 individu yang mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Sebagai wakil rakyat yang konsisten menentang penggunaan akta itu, beliau mendakwa SOSMA merupakan undang-undang yang zalim.

“Saya sebagai peguam menyatakan tentangan saya, saya ingin menentang penggunaan SOSMA ke atas semua individu yang terlibat dalam kes GISBH. Kalau ada keterangan tuduh mereka di mahkamah jangan guna SOSMA, kerana undang-undang itu adalah undang-undang yang zalim,” tambah beliau.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here