Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman bercakap kepada media pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman mengingatkan kerajaan supaya tidak membuat pengumuman tanpa berfikir mengenai pengkelasan kategori T15.

Katanya, tindakan ini mengakibatkan rakyat tertanya-tanya dan bimbang terhadap nasib masing-masing sekiranya beberapa subsidi ditarik.

“(Menteri Ekonomi) Rafizi Ramli semalam bidas saya, kata saya salah sebab kerajaan belum tetapkan siapa T15. Ini masalah kalau kita umum dulu fikir kemudian kerana rakyat sudah dengar ucapan PM, sudah dengar apa mereka bakal hilang petrol (subsidi RON95) RM500 hilang sebulan, subsidi Pendidikan, subsidi kesihatan, nak hantar anak ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kena buat perancangan.

“Pengumuman sudah buat, tapi sekarang bila didesak kata tak mengapa kita fikir dulu, sedangkan rakyat sudah gelisah.

“Sebab itu kita di Parlimen perlu berhujah untuk pertahankan rakyat,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2025.

Semalam, Rafizi dipetik sebagai berkata belanjawan akan mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan jika setiap butiran perlu diperincikan sebelum dibentangkan.

Mengulas lanjut Syed Saddiq berkata, kerajaan sepatutnya membuat pengkelasan kategori T15 secara lengkap sebelum membentangkan belanjawan demi memastikan bukan hanya rakyat, malah syarikat dan peniaga kecil dapat bersedia lebih awal.

Selain itu, beliau turut membantah sekiranya kerajaan sekali lagi mahu menggunakan pendekatan untuk mengejutkan rakyat dalam isu penarikan subsidi yang dijangka dilaksana tahun depan.

Katanya, langkah kerajaan itu hanya akan mengakibatkan ada golongan yang benar-benar memerlukan tercicir daripada menerima subsidi sekali gus mencetus respons negatif daripada rakyat terhadap kerajaan.

“Sekarang dia nak guna taktik sama, taktik tersebut lapuk dan jelas gagal. Ingat pendaftaran Budi Madani, kerajaan kata tidak akan ada golongan tercicir, realitinya hari ini 50 peratus orang masih tidak berdaftar tercicir iaitu orang susah, itu untuk diesel mungkin tidak ramai pakai, bayangkan RON95 (subsidi) kesihatan, pendidikan, universiti… lagi ramai yang guna.

“Sebab itu dalam bab ini jangan guna taktik kita nak kejutkan rakyat pada akhirnya yang terkejut kamu kalau rakyat hukum kamu pada masa akan datang,” jelasnya.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa subsidi akan dikurangkan bagi golongan T15.

Ekoran itu, timbul reaksi daripada pelbagai pihak mengenai pengkelasan golongan itu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast