Kumar menyampaikan bantuan kepada 32 keluarga B40 selepas Program Community Policing Kontinjen Johor Sempena Sambutan Deepavali Tahun 2024 di IPD Iskandar Puteri, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Polis menahan 10 lelaki dan tiga wanita kerana disyaki terlibat dalam kes culik seorang ahli perniagaan di daerah ini pada 13 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, mereka direman sehingga 29 Oktober ini selama tujuh hari sementara tiga lagi suspek akan dimohon remah esok di mahkamah di Johor Bahru

Mereka yang ditahan berusia 23 hingga 58 tahun.

Menurutnya, salah seorang suspek yang ditahan itu merupakan ahli keluarga mangsa.

“Daripada 10 lelaki itu lapan lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing manakala tiga wanita itu melibatkan dua wanita tempatan serta seorang wanita warga asing.

“Operasi tangkapan tersebut dilakukan bermula pukul 9 malam, semalam (22 Oktober lalu) sehingga awal pagi tadi di kawasan  Kota Tinggi dan seluruh Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Community Policing Kontinjen Johor Sempena Sambutan Deepavali Tahun 2024 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.

Kumar berkata, empat daripada suspek yang ditangkap mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Dalam operasi itu, polis turut merampas telefon bimbit dan kad ATM.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Akta Penculikan 1962.

Kumar meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut kerana akan mengganggu siasatan polis.

Sebelum ini media melaporkan seorang ahli perniagaan diculik oleh beberapa lelaki dalam kejadian di daerah ini sebelum dipercayai dibebaskan selepas wang tebusan RM20 juta dibayar.

Memetik laporan akhbar China Press, peniaga berkenaan, 59, ketika itu dijadualkan ke luar negara bagi urusan perniagaannya sebelum dilarikan pukul 5 pagi, pada Ahad lalu.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here