KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menyita pelbagai jenis dan jenama rokok serta minuman keras yang dianggarkan bernilai RM351,657.31.
Rampasan ini melibatkan jumlah cukai dan duti sebanyak RM2,339,803.18.
Pengarahnya Mohd Asri Seman berkata, kedua-dua rampasan rokok dan minuman keras itu dibuat berdasarkan hasil maklumat awam dan risikan yang dibuat ke atas dua lokasi berbeza di Negeri Sembilan.
Kes pertama melibatkan serbuan pada 28 September lalu sekitar jam 8 pagi di sebuah gudang di Taman Perindustrian Perdana, Bukit Palong, dekat Negeri Sembilan
”Hasil pemeriksaan yang dilakukan menjumpai rokok pelbagai jenis dan jenama disyaki tak berkastam yang tidak memenuhi kriteria berdasarkan Butiran Satu (1), Bahagian Dua (2), Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
”Rampasan melibatkan sejumlah 3,156,961 batang rokok pelbagai jenis dengan anggaran nilai sebanyak RM286,118.40 membabitkan jumlah cukai dan duti yang terlibat dianggarkan berjumlah RM2,112,205.44,” katanya.
Kes berkenaan sedang dalam siasatan lanjut dan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 di mana kesalahan menyimpan atau memiliki apa-apa barang tak berkastam atau larangan import di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh 10 kali ganda nilai barang atau RM 100,000 (yang mana lebih tinggi); sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM 500,000 (yang mana lebih tinggi); atau penjara tidak kurang 6 bulan dan tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Tegasnya, pengimportan rokok memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam melalui kaedah yang ditetapkan di bawah Peraturan 42(1), Peraturan Kastam 2019.
Manakala kes sitaan kedua dilakukan pada hari yang sama melalui serbuan di sebuah gudang pemprosesan, pengilangan dan penyimpanan minuman keras disyaki tanpa lesen Kastam di Taman Perindustrian Perdana, di Lukut pada jam 2 petang.
Dalam serbuan itu, pasukan Kastam berjaya menjumpai minuman keras pelbagai jenis dan jenama yang disyaki tak berkastam.
Rampasan minuman keras tersebut berjumlah 3,928.40 liter dengan anggaran nilai sebanyak RM65,538.91 membabitkan jumlah cukai dan duti yang terlibat dianggarkan berjumlah RM227,597.74.
Jelasnya, menyuling, menapai atau mengilang arak yang memabukkan memerlukan lesen yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia di bawah Seksyen 20 (1) Akta Eksais 1976.
”Siasatan awal yang dilakukan mendapati gudang tersebut tidak dilesenkan untuk menyuling, menapai atau mengilang liquor yang memabukkan di bawah Akta Eksais,” katanya.
Kes sedang disiasat di bawah Akta Eksais 1976 di mana jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM50,000 atau pemenjaraan selama suatu tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette