KUALA LUMPUR – Keadaan Dewan Rakyat tegang antara ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sebelum sesi pagi Dewan Rakyat berehat tengah hari tadi.

Semuanya bermula apabila Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) bangun mencelah perbahasan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) dalam Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat.

“Mungkin di Kelantan tidak ada DAP,” kata Awang.

RSN Rayer (PH-Jelutong) kemudian bingkas bangun mempersoal kenyataan Awang yang padanya bersifat jahat kepada DAP.

“Kelantan aman sebab tidak ada wakil rakyat seperti sebelah sana, sebab Pendang (Ahli Parlimen) tidak ada disana,” kata Rayer.

‘Pendang jangan buat sangkaan jahat,” celah Chong Zhemin (PH-Kampar).

Zhemin berkata, dakwaan Awang tersebut adalah salah kerana DAP sememangnya mempunyai cawangan di negeri tersebut.

“Ini sangkaan jahat kerana fakta tersebut salah, kita ada jawatan kuasa negeri DAP.

“Kalau Kelantan ada DAP dan kita hidup aman damai bermaksud tidak ada masalah kerana DAP memupuk semangat keharmonian, jadi saya nak Pendang tarik balik,” kata Zhemin.

“Tidak malukan YB, inikah sikap di khalayak ramai,” soal Rayer.

Situasi yang semakin tegang itu dapat dileraikan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang bertindak sebagai Timbalan Yang di-Pertua sementara Dewan Rakyat, hari ini.

“Biar saya uruskan peraturan mesyuarat Kapar dahulu,” kata Mohd Shahar.

Menjelaskan perkara itu, Awang berkata, beliau hanya menimbulkan persoalan kemungkinan ketiadaan DAP dalam Kelantan membuatkan negeri tersebut aman.

“Saya kata mungkin, boleh jadi betul atau salah. Jadi bagaimana ahli Parlimen kerajaan boleh kata ini kenyataan amat jahat? Dia tidak faham bahasa Melayu,” katanya di Dewan Rakyat.

Tidak menghiraukan pertelagahan itu, Mohd Shahar bagaimanapun meneruskan perbahasan Dr Halimah dan kemudiannya menutup sidang sesi pagi Dewan Rakyat, hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast