KUALA LUMPUR – Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) mengajar bahasa Bengali kepada pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), KLIA, Bangunan Airport Management Centre, baru-baru ini.
Pelajar Sarjana Muda Sains (Statistik Industri), Projeet Roy berkata, bahasa Bengali merupakan bahasa rasmi Bangladesh yang turut digunakan di wilayah Bengal Barat, India dan negara Bangladesh.
“Keistimewaan bahasa ini dikatakan kaya dengan sastera dan puisi. Sistem tulisan menggunakan aksara Benggali yang unik dimulai dari kiri ke kanan.
“Cabaran belajar bahasa ini disebabkan komuniti Bengali yang sangat kecil di Malaysia. Hanya terdapat lebih kurang 200 keluarga Bengali di Malaysia secara keseluruhan,” katanya yang telah dilantik sebagai pelatih oleh Persatuan Bengalee Malaysia (MBA).
Projeet Roy berkata, Modul Kursus Bahasa Asing (Bahasa Bengali) 2024) memberi penekanan khusus kepada keperluan pegawai Imigresen untuk berurusan di kaunter lapangan.
Program tiga hari yang dianjurkan oleh Unit Latihan Jabatan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kerjasama MBA bertujuan untuk meningkatkan kemahiran bahasa asing pegawai Imigresen terutamanya bahasa Bengali.
“Program yang diadakan khusus untuk petugas di KLIA disertai kira-kira 25 staf daripada pelbagai gred. Inisiatif ini diambil bagi memudahkan komunikasi dengan pelancong dari Bangladesh dan India,” ujarnya.
Berkongsi pengalaman lucu ketika sesi simulasi di lapangan terbang seorang pegawai menggunakan bahasa Bengali yang kelakar tetapi dalam intonasi yang serius.
“Saya berbangga sebab pengajaran bahasa Bengali di Malaysia kepada badan beruniform tidak pernah dilaksanakan dan saya merupakan salah satu pelatih pertama untuk membawa kursus ini kepada Pegawai Imigresen,” tambahnya. – MalaysiaGazette