Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR – Putrajaya menyasarkan untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan Laut China Selatan secara konstruktif pada penganjuran ASEAN-Malaysia 2025.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, ia sejajar dengan kemahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu isu ini diselesaikan di peringkat antarabangsa.

“Dengan menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai, Malaysia akan terus menyuarakan pendirian tegas berhubung isu Laut China Selatan di pelbagai platform bagi memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara akan terus kekal terpelihara,” jawab Alimin di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan lisan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang ingin tahu tindakan Wisma Putra dalam menyelesaikan ketegangan di Laut China Selatan di antara China dengan Malaysia, Vietnam, Filipina, Brunei serta Taiwan dan apakah Malaysia boleh menjadi pemudah cara untuk menyelesaikan pertikaian ini.

Mohamad berkata, Wisma Putra amat tegas dengan pendirian Malaysia berhubung isu di Laut China Selatan, jelasnya semua semua pertikaian dan penyelesaian isu-isu berhubung Laut China Selatan mestilah berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Undang–Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982, atau United Nations Convention on the Law of the Sea 1982 (UNCLOS 1982).

“Negara-negara ASEAN dan China juga telah memeterai, Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) pada 4 November 2002. Ini merupakan antara usaha serantau untuk memastikan keamanan dan kestabilan serta bagi mengelakkan ketegangan di Laut China Selatan.

“Selaras dengan persefahaman di bawah DOC ini, negara-negara ASEAN telah mengambil pendekatan,“self-restraint” (menahan diri) dan memastikan tindakan-tindakan yang diambil dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Laut China Selatan tidak akan meningkatkan ketegangan di lapangan,” jawab Mohamad lagi.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Malaysia sedang memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa sebagai Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-China untuk tempoh tiga tahun dari Ogos 2024 hingga Julai 2027.

“Sebagai Negara Penyelaras, antara peranan Malaysia adalah sebagai Pengerusi Bersama dengan China dalam merunding draf COC.

“Dalam hubungan ini, Malaysia beriltizam untuk memastikan supaya kod tatalaku ini akan menjadi satu dokumen yang efektif dan substantif bagi menangani isu-isu yang berkaitan Laut China Selatan.

“Malaysia akan sentiasa memastikan COC yang dirundingkan tidak sekali-kali mengetepikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here