Ammar Atan

KUALA LUMPUR – Angkata Muda Harapan menempelak pembangkang yang sehingga kini masih gagal mengemukakan belanjawan alternatif meskipun perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat sudah memasuki hari keempat hari ini.

Ketua Penerangannya, Ammar Atan berkata, kegagalan pembangkang itu bukan sahaja memperlihatkan kelemahan dalam memahami permasalahan negara, malah turut disertai dengan prestasi kehadiran yang bermasalah ketika sidang Parlimen.

Ujar beliau yang juga Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, ketidakhadiran Ahli Parlimen pembangkang dalam sidang-sidang penting memperlihatkan sikap tidak serius dalam menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Perbezaan ketara dapat dilihat apabila membandingkan keadaan semasa dengan ketika Pakatan Harapan berperanan sebagai pembangkang dahulu.

“Pakatan Harapan tidak hanya memberi kritikan, tetapi turut menawarkan polisi-polisi yang jelas dan cadangan alternatif yang konkrit, bersedia untuk memimpin bila-bila masa sekiranya diberi mandat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa pembangkang supaya lebih bertanggungjawab dalam menjalankan peranan mereka dan kehadiran yang lemah di Parlimen serta sekadar berteriak tanpa cadangan konkrit tidak akan membawa manfaat kepada rakyat.

“Mereka perlu tampil dengan solusi yang lebih baik dan relevan demi memajukan negara.

“Setakat ini, apa yang kita saksikan hanyalah kegagalan demi kegagalan mereka untuk menawarkan alternatif yang lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast