Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

KUALA LUMPUR – Pavilion negeri yang menjadi tarikan semasa Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) tahun ini akan dibuka dalam Sidang Kemuncak ASEAN tahun hadapan.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, hal itu telah diputuskan Kabinet susulan sambutan menggalakkan yang diterima semasa pembukaan kali pertama pavilion negeri itu pada MAHA 2024.

“Oleh itu, barisan kabinet serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat pavilion negeri hendaklah dibuka semasa persidangan Asean supaya boleh dikunjungi para delegasi.

“Selain itu, ada juga kemungkinan sektor lain perlu dibuka semasa persidangan,” katanya kepada media selepas Majlis Apresiasi Bersama Media Sempena MAHA2024, di Tamu Suites, di sini, hari ini.

Beliau turut memberitahu perincian mengenai pavilion negeri tersebut akan dimaklumkan kemudian.

Apabila ditanya mengenai sasaran penganjuran MAHA untuk tahun 2026 nanti, pihaknya telah menetapkan sasaran seramai tiga juta pengunjung ke majlis itu.

“Namun, untuk MAHA akan datang, kami mahu lebih banyak produk MAHA Go Global supaya barang-barang keluaran tempatan dapat memasuki pasaran antarabangsa,” tambahnya.

MAHA 2024 telah melabuhkan tirai pada September lalu dengan rekod gemilang iaitu menerima lima juta pengunjung sepanjang 11 hari kelangsungannya dengan nilai jualan langsung sebanyak RM41 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast