Anthony Loke selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Pelabuhan dan Logistik Asean di Double Three Hilton Hotel, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Inisiatif pendigitalan cukai jalan dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) akan dikekalkan pelaksanaannya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah berkenaan yang dilakukan sejak Februari tahu lalu adalah selari dengan dasar digitalisasi negara.

“Kementerian tidak akan kaji semula pelaksanaan cukai jalan dan LMM secara digital walaupun terdapat permintaan beberapa pihak terutama pengguna.

“Kita kena progresif kerana ketika ini sudah banyak perkhidmatan dinaik taraf kepada digital termasuk cukai jalan dan lesen memandu.

“Namun pengguna masih boleh cetak cukai jalan digital ini jika terdapat keperluan termasuk mematuhi peraturan negara jiran, tiada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Pelabuhan dan Logistik Asean di sini, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pihak terutama pengguna meminta supaya kerajaan mengembalikan pelaksanaan cukai jalan dan lesen memandu fizikal berikutan ia menjadi keperluan memasuki negara jiran termasuk Thailand.

Pada Ogos tahun lalu, dua lelaki warga Malaysia dilaporkan meluahkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan tindakan saman oleh pihak berkuasa Thailand meskipun sudah mempamerkan lesen memandu digital yang dimiliki mereka.

Dalam pada itu, Anthony berkata, pengguna hanya perlu mencetak cukai jalan dan lesen memandu digital jika mereka memasuki negara jiran.

“Sekiranya hendak ke luar negara boleh cetak sahaja cukai jalan atau lesen memandu. Tidak menjadi masalah dan tidak perlu dikaji balik.

“Pendigitalan ini akan terus dikekalkan tetapi tidak bermaksud cukai jalan dan lesen memandu digital tidak boleh dicetak kerana ia boleh dicetak sendiri.

“Jika kendak masuk negara jiran termasuk Thailand yang tetapkan syarat perlu cukai jalan atau lesen memandu fizikal, cetak sahajalah, tak susah pun,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here