Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media ketika hadir ke Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Beberapa pelaksanaan dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu akan memberikan kesan rantaian kepada rakyat kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 misalnya akan memberikan kesan terus kepada kenaikan harga barang.

“Jika subsidi petrol RON95 ditarik pada tahun hadapan, saya pasti kesan berantainya akan dirasai oleh rakyat.

“Walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa hanya golongan T15 yang akan membayar lebih, tetapi siapakah golongan T15 ini? Berapa jumlah mereka? Adakah mereka ini golongan maha kaya?, soal Muhyiddin dalam perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas Ahli Parlimen Pagoh itu lagi, Belanjawan yang dibentangkan acap tahun perlu menjaga kepentingan rakyat dan bukannya memeritkan kehidupan rakyat.

Perkara itu sebaliknya berlaku kepada Belanjawan 2025 yang dibentang Anwar pada Jumaat lalu, tambah beliau.

“Dalam keadaan rakyat sedang menanggung beban kos sara hidup yang tinggi dan harga barang melambung, kerajaan tarik subsidi dan naikkan cukai.

“Kesan langsung daripada tindakan ini ialah harga barang akan menjadi lebih mahal dan beban yang ditanggung oleh rakyat semakin berat.

“Dengan kadar inflasi dijangka meningkat antara 2% hingga 3.5% pada tahun hadapan, kerajaan perlu menimbang semula dasar rasionalisasi subsidi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata keputusan kerajaan untuk menaikkan kadar gaji minimum baharu iaitu pada RM1,700 juga mempunyai kesan kepada rakyat.

Tambah beliau, kenaikan gaji minimum perlu disokong dengan dasar dan tindakan kawalan harga yang jelas.

Ujarnya, tindakan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 mestilah diperkasa supaya sebarang kenaikan yang tidak wajar dikenakan tindakan tegas.

“Penguatkuasaan perlu lebih berkesan dan meluas. Di samping itu, kerajaan juga mestilah lebih berhati-hati dalam melaksanakan apa-apa dasar yang boleh menyebabkan kesan berantai ke atas kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Selain itu, kerajaan mestilah melihat secara terperinci masalah yang dihadapi oleh syarikat-syarikat kecil yang tidak mampu menampung kenaikan kos operasi syarikat akibat kenaikan kos upah.

“Ini kerana kesan berantai kenaikan gaji minimum ini besar. Ia bukan sekadar kenaikan kos upah yang terpaksa ditanggung oleh syarikat, tetapi juga kos operasi, logistik, inventori dan lain-lain,” katanya lagi.  – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here