Bangunan Dong Jiao Zong, Kajang, Selangor.

KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang menggesa kerajaan tidak melayan sebarang usaha untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Ketua Penerangannya, Mohamad Harith Azizi berkata, usaha itu hanya akan memberi kesan negatif kepada dasar kerajaan untuk memperkasakan bahasa Melayu serta mengekalkan identiti nasional yang kukuh.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak terutama Kerajaan Perpaduan untuk mempertahankan dasar-dasar pendidikan yang berpaksikan kebangsaan dan tidak tunduk kepada desakan yang hanya akan merosakkan asas perpaduan negara.

Mohamad Harith Azizi

Dalam masa sama, ujar beliau, pihaknya turut mendesak Kementerian Pendidikan (KPM) segera mengkaji semula dan menolak sebarang usaha mengiktiraf UEC demi kepentingan negara secara keseluruhannya.

“Kita perlu mempertahankan dasar pendidikan kebangsaan yang berteraskan Bahasa Melayu dan memastikan tiada ruang untuk perpecahan dalam sistem pendidikan kita,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau merujuk kepada laporan sebuah portal Isnin lalu, berhubung pertemuan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dengan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dalam usaha persatuan itu mendapat pengikitirafan untuk UEC dan mengekalkan bahasa Cina sebagai bahasa utama kurikulum di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Sementara itu, Mohd. Harith berkata, GPMS Pulau Pinang tegas dengan pendirian yang mana sebarang usaha mengiktiraf UEC jelas bertentangan dengan semangat dan prinsip asas Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Ujar beliau, tindakan itu tidak hanya mengundang polemik tetapi juga melanggar peruntukan-peruntukan penting di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996 yang mengutamakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan.

“Sebagai sebuah negara yang majmuk, pendidikan seharusnya menjadi alat penyatuan, bukan pemisah.

“Oleh itu, GPMS sekali lagi menyeru semua pihak untuk berdiri teguh mempertahankan prinsip-prinsip asas dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan demi memastikan keharmonian dan perpaduan antara kaum terus terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here