KUALA LUMPUR – Pihak polis akan menyiasat pendedahan mengenai ada pihak yang ‘mengintai’ rumah perlindungan menempatkan kanak-kanak yang diselamatkan daripada Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dalam Op Global.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci kerana terdapat beberapa rumah perlindungan yang menempatkan kanak-kanak itu.
“Kami akan siasat kerana ada kanak-kanak yang ditempatkan di Negeri Sembilan, ada di Selangor,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di Putrajaya, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) , Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan ada pihak yang cuba ‘mengintai’ keberadaan kanak-kanak yang diselamatkan dari GISBH dalam Op Global lalu.
Bagaimanapun, Nancy berkata, pihaknya tidak pasti sama ada perbuatan itu dibuat oleh ibu bapa kanak-kanak itu atau sebaliknya.
Oleh itu, KPWKM telah memperketatkan kawalan keselamatan bagi melindungi kesemua kanak-kanak yang diselamatkan dari premis GISBH itu.
Sebelum ini, pihak polis dan pelbagai agensi telah melancarkan Op Global dan menyelamatkan ratusan kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun.
Kesemua mereka disyaki telah menjadi mangsa eksploitasi dan dibawa keluar dari 18 rumah amal milik GISBH di Selangor dan dua di Negeri Sembilan.
Serbuan yang dibuat itu juga mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang menghuni rumah amal berkenaan. – MalaysiaGazette