KUALA LUMPUR – Sektor pembinaan merekodkan pertumbuhan memberangsangkan iaitu sebanyak 17.3 peratus pada suku ketiga tahun ini setakat September lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, ia merupakan pertumbuhan dua angka pertama kali dicatatkan sektor itu sejak 2014, sekali gus menggambarkan kemampuan industri pembinaan untuk terus berdaya saing dan berkembang lebih kukuh.
Tambah beliau, lonjakan pertumbuhan sektor pembinaan itu turut membawa manfaat lebih luas kepada ekonomi negara antaranya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Selain itu, tambahnya, pertumbuhan pesat sektor itu turut menggalakkan pelaburan domestik dan antarabangsa, memacu pembangunan infrastruktur negara serta meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam industri pembinaan di rantau ini.
“Perkembangan industri pembinaan ini adalah seiring dengan evolusi teknologi digital termasuk data raya (big data) dan kecederdasan buatan (AI) yang secara siginifikan turut meningkatkan permintaan terhadap pusat data.
“Peningkatan kedudukan negara dalam Indeks Kos Pusat Data yang mengatasi Oslo, Berlin dan Sydney menunjukkan kepimpinan Malaysia dalam aspek evolusi teknologi digital ketika ini juga semakin berkembang,” katanya ketika berucap merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan BuildXpo 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Sementara itu, Anwar berkata, bagi menyokong keperluan guna tenaga yang berkemahiran tinggi serta pakar dalam bidang evolusi teknologi, kerajaan akan mengembangkan aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya dalam bidang AI dan robotik.
Sehingga September lalu, tambah beliau, seramai 1.12 juta tenaga kerja telah berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) iaitu sebagai langkah untuk memprofesionalkan bidang kerjaya dalam sektor pembinaan.
“Bagaimanapun, kerajaan menyedari tenaga kerja mahir dalam sektor ini ketika ini masih kurang dan sedang menangani isu tersebut menerusi program latihan yang kukuh serta inisiatif bagi meningkatkan kemahiran pekerja,” katanya. – MalaysiaGazette