Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat pembekal minyak masak dan pengarah syarikat mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Kubu Bharu hari ini  atas pertuduhan memberikan maklumat palsu berkaitan barangan kawalan pada 2022.

Kedua – duanya membuat pengakuan itu dihadapan Hakim Ho Kwong Chin dan menjatuhkan hukuman denda RM20,000 kepada syarikat tersebut, serta pengarah syarikat yang merupakan seorang wanita berusia bawah 50 tahun.

“Mengikut pertuduhan, kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961, kerana syarikat berkenaan memberi maklumat palsu dalam Borang Arahan Mengemukakan Dokumen bagi barang kawalan, termasuk minyak masak.

“Syarikat tersebut secara sengaja memberikan invois palsu yang boleh mempengaruhi kawalan harga dan bekalan minyak masak di pasaran tempatan,” kata pendakwa raya, Nazli Wadi bin Che Rusli.

Peguambela, Mark Kak Keong, bagaimanapun, memohon hukuman yang lebih ringan dengan alasan syarikat dan pengarahnya telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dan tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Setelah hukuman dibacakan, syarikat tersebut segera membayar denda RM10,000, begitu juga dengan pengarahnya yang turut menjelaskan bayaran denda.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) mengingatkan semua pemegang lesen bekalan untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan memastikan segala dokumen yang dikemukakan adalah tepat serta sahih.

Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961, tindakan tegas akan terus diambil untuk memastikan kestabilan pasaran dan melindungi pengguna. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here