Shahidan Kassim. Foto MOHD ADZLAN, 27 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Seri Shahidan Kassim menempelak Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) yang tidak hadir pada sidang Dewan Rakyat sehingga mengakibatkan tidak cukup korum, Isnin lalu.

Shahidan (PN-Arau) berkata, keadaan ini jelas menunjukkan BBC tidak berfungsi dengan baik dalam memastikan kehadiran ahli Parlimen kerajaan hadir bagi memastikan sidang dapat berlangsung.

“Tanggungjawab BBC untuk memenuhkan korum pada sidang Dewan Rakyat, bukan tanggungjawab kami pembangkang.

“Mereka (BBC) tidak ambil tanggungjawab dan sering kali mereka kata kepada pembangkang makan gaji buta tapi sekarang mereka makan gaji buta sebab mereka dapat peruntukan RM3.8 juta setahun,” kataya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) dalam sidang media sama berkata, tindakan tidak cukup korum ini jelas satu penghinaan kepada institusi Parlimen.

“Saya nampak trend ini semakin menjadi-jadi bila Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Tan Sri Johari Abdul) tidak berada dalam negara.

“Sepatutnya ketua whip di pihak kerajaan mengambil serius, malah orang macam saya yang digantung tidak dibenarkan berada dalam galeri Dewan, orang yang boleh berbahas tidak mahu hadir,” katanya.

BBC diketuai Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Sidang Dewan Rakyat pada Isnin terhenti seketika apabila bilangan Ahli Parlimen kerajaan tidak cukup korum semasa sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbelakan 2025 peringkat dasar.

Penangguhan itu dibuat apabila Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 13(1), selepas mendapati kehadiran ahli Parlimen tidak mencukupi sekurang-kurangnya 26 orang dalam Dewan.

Dewan rakyat sedikit kecoh sebelum loceng dibunyikan apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun mencelah dan memaklumkan terdapat ahli Parlimen ke surau menunaikan solat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here