Transparency International Malaysia (TI-M)

KUALA LUMPUR – Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa kerajaan mempertingkatkan perlindungan terhadap pemberi maklumat terutama berkaitan jenayah seperti rasuah.

Presiden TI-M, Dr Muhammad Mohan berkata, keselamatan pemberi maklumat harus menjadi keutamaan kerana situasi ini menunjukkan keberanian yang tinggi dan perlu dihargai.

“Pemberi maklumat berdepan risiko ancaman keselamatan yang memerlukan perhatian serius daripada pihak berkuasa.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) disarankan untuk megambil langkah proaktif dalam melindungi keselamatan pemberi maklumat bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga turut menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk segera mengambil langkah melindungi individu yang tampil dengan maklumat berkaitan rasuah.

Menurutnya, pemberian perlindungan menyeluruh ini dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan lebih ramai individu tampil memberikan maklumat yang boleh membantu memerangi rasuah di negara ini.

Kekurangan perlindungan yang mencukupi boleh menyebabkan pemberi maklumat berasa takut untuk tampil ke hadapan.

Terdahulu, salah seorang wartawan sebuah portal mendedahkan maklumat berkaitan tiga individu berprofil tinggi yang terlibat dalam pengaturan visa perubatan dan sindiket penetapan kaunter yang didakwa terlibat dalam rasuah.

Mohan memuji tindakan berani wartawan itu yang mendedahkan penyalahgunakan kuasa oleh tiga suspek berkenaan.

“Perlindungan terhadap pemberi maklumat ini merupakan salah satu komponen utama dalam Strategi Anti Rasuah Kebangsaan (NACS).

“Kerajaan Madani perlu memperkukuh usaha ini bagi mencapai sasaran untuk meletakkan Malaysia dalam kedudukan 25 teratas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dalam tempoh sepuluh tahun akan datang,’ ujarnya.

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 juga boleh dipinda sebagai langkah penting untuk memperkukuhkan perlindungan ini dan diharap dapat meningkatkan keyakinan rakyat untuk tampil dengan maklumat tanpa rasa bimbang terhadap keselamatan mereka. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here