KUANTAN – Berang setelah isterinya ditegur seorang penunggang p-hailing kerana salah letak alamat penghantaran, seorang lelaki bertindak mengejar penunggang itu lalu memukulnya.

Kejadian terbabit dikongsi seorang individu dalam hantaran yang tular menerusi aplikasi Facebook dan whatsapp hari ini.

Menerusi perkongsian itu, kejadian tersebut dikatakan berlaku di Permatang Limau, Sungai Soi di sini pada Isnin lepas.

“Kisahnya si perempuan ni order grab dan salah pin location jauh dari rumah dia. Jadi dia telah hantar location dekat whatsapp rider.

“Perempuan ni cakap rider lain betul je, rider ni sorang je bermasalah. Jadi rider ni telah tunjuk map dkt handphone yg perempuan ni mmg salah pin location,” kata hantaran itu.

Setelah berlaku pertengkaran mulut antara mereka, penunggang p-hailing itu dikatakan mengalah dan mula beredar, namun dijerkah suami wanita tersebut.

Terkejut dan takut, penunggang p-hailing itu terus beredar namun suami wanita itu mula mengejarnya dengan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios dan telah melanggar belakang motosikal ditunggangnya sehingga dia jatuh.

Penunggang p-hailing itu dikatakan sempat merakam video ketika suami wanita itu memukulnya, namun dia diugut dan dicekik agar memadam video terbabit.

“Katanya lelaki ni dikenali dengan panggilan ‘tiger’. Badan besar tapi belasah budak,” kata hantaran itu lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan kes kini dalam siasatan pihak polis. – Malaysiagazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here