Wanita Vietnam berjaya diselamatkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia daripada menjadi mangsa eksploitadi seks.

KUALA LUMPUR – Tujuh wanita warga Vietnam yang menjadi mangsa eksploitasi seks  diselamatkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai di Klang, Selangor, kelmarin.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu kenyataan berkata, wanita yang berumur antara 32 hingga 45 tahun itu dipercayai dipaksa bekerja sebagai pekerja seks di premis berkenaan.

“Operasi bermula pada jam 11.23 malam dan diketuai oleh Bahagian Pencegahan Akta Antipemerdegangan dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA), Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Premis tersebut dikawal ketat oleh seorang lelaki warga Bangladesh yang turut bertindak sebagai ‘kapten’ dan mengawasi mereka melalui rakaman litar tertutup (CCTV),” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil siasatan awal mendapati, mangsa-mangsa dikurung di dalam premis dan dipukul jika enggan melayani pelanggan.

Menurut laporan yang diterima, wanita berkenaan masuk ke Malaysia sebagai pelancong sebelum dipaksa bekerja di premis tersebut dan setiap wanita hanya menerima RM60 bagi setiap pelanggan yang dilayan.

Ketika serbuan dilakukan, pihak berkuasa terpaksa memecahkan pintu utama kerana penjaga premis enggan bekerjasama sebelum cuba melarikan diri melalui tingkap di tingkat dua.

Bagaimanapun, lelaki tersebut berjaya ditahan oleh pasukan operasi dan pasport kesemua wanita dipercayai dipegang oleh seorang ejen yang menawarkan pekerjaan kepada mereka.

“Mangsa tidak dibenarkan keluar dari premis untuk membeli makanan atau keperluan lain.

“Mereka sentiasa berada di bawah kawalan ketat ‘kapten’ yang memastikan tiada pergerakan bebas,” ujarnya.

Tambah beliau, operasi yang dijalankan berpandukan kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0 bagi mengenal pasti mangsa pemerdagangan manusia.

Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670), jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau sekurang-kurangnya lima tahun, serta sebatan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here