Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkenaan pentadbiran kerajaan negeri dan isu-isu politik di Kota Kinabalu, Sabah. Foto FAREEZ FADZIL, 30 SEPTEMBER 2024.

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengakui tidak mempunyai rahsia mahupun formula hingga mampu bertahan sebagai wakil rakyat selama lapan penggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman sejak 1990.

Walaupun beliau sudah empat kali bertukar parti politik – dari USNO, UMNO, Bersatu hingga ke GRS namun ribuan pengundinya masih setia memberikan mandat dan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di kawasan yang ditandinginya itu.

Hajiji menegaskan, keputusan beliau menukar parti politik bukan kerana kepentingan peribadi sebaliknya hasil daripada sesi libat urus yang dilakukannya dengan para pengundi dan pemimpin kawasan.

“Saya tidak tahu apa rahsianya tetapi jadi pemimpin kita kena baik, dekat dengan rakyat, dengar apa masalah rakyat, kita jumpa dan melawat rakyat dan kita usahakan bawa pembangunan kepada mereka, itu sahaja.

“Walaupun saya tukar parti, dia orang sokong juga, sebelum saya tubuhkan GRS, saya panggil semua kepimpinan di kawasan saya, ketua cawangan, ketua kampung, pengerusi JKKK, pemimpin bahagian, apa fikiran mereka, mereka setuju atau tidak.

“Ada seorang pemimpin lantang dalam majlis itu, dia ikut pemimpin, dia tidak tahu parti (hanya) tahu UMNO, USNO, Bersatu tapi mahu ikut pemimpin,” katanya dalam temubual eksklusif bersama MalaysiaGazette di Menara Kinabalu baru-baru ini.

Mengikut rekod, Hajiji memenangi kerusi DUN Sulaman dalam Pilihan Raya Negeri ke-9 (PRN9) Sabah pada 16 dan 17 Julai 1990 hingga PRN16 pada 26 September 2020.

Dalam PRN9, Hajiji bertanding atas tiket Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dengan memperoleh 8,202 majoriti undi manakala PRN16 pula, beliau mendapat 3,099 majoriti undi ketika bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkenaan pentadbiran kerajaan negeri dan isu-isu politik di Kota Kinabalu, Sabah. Foto FAREEZ FADZIL, 30 SEPTEMBER 2024.

Dalam pada itu, Hajiji juga berasa hairan kehadirannya dalam PRN masih boleh diterima rakyat meskipun ‘diserang’ pemimpin pembangkang dan tidak kurang pula dilabel sebagai pengkhianat.

“Saya pun terharu mendengar begitu, mereka kata apa sahaja parti yang Datuk pimpin sekarang, saya sokong, itulah saya di Tuaran.

“Saya pun tidak tahu apa tapi selama lapan penggal, dia orang cukup menyokong saya walaupun saya dihentam kiri kanan sebagai pengkhianat, macam-macam, tapi dia orang masih menyokong,” katanya.

Sebagai Pengerusi GRS, beliau rasa terhutang budi atas jasa dan peluang yang diberikan Allahyarham Tun Ghafar Baba kepadanya sehingga dilantik sebagai setiausaha politik kepada Timbalan Presiden UMNO itu pada 1992.

Beliau berkata, pengalaman ketika berkhidmat dengan bekas Timbalan Presiden UMNO itu banyak mengajarnya untuk menjadi seorang pemimpin politik yang baik sehingga ke hari ini.

“Saya menjadi setiausaha politik Tun Ghafar dari 1992 hingga hujung 1993, apabila beliau gagal mempertahankan Timbalan Presiden (UMNO) waktu itu, berlawan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya belajar macam mana jadi orang politik, dia datang ke Sabah, saya atur beliau punya program dan sebagainya.

“Mungkin banyak pengalaman yang saya gunakan bersama beliau itu untuk memberi khidmat kepada rakyat sampai sekarang,” katanya.

Hajiji memberitahu, ketika beliau dilantik sebagai setiausaha politik kepada Tun Ghafar – beliau masih lagi berstatus wakil rakyat USNO.

“Saya pun amat berterima kasih kepada beliau (Ghafar) mengangkat menjadi setiausaha politik, bukan senang pada 1992.

“Waktu itu saya masih lagi ADUN USNO sehingga saya masuk UMNO di Kuala Lumpur, di hadapan allahyarham dan juga Datuk Seri Anwar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here