Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Semua institusi pengajian tinggi di negara ini diseru berhenti mengeluarkan apa-apa arahan untuk mengekang kebebasan bersuara dalam kalangan ahli akademik dan penuntutnya.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok berkata, kebebasan akademik memainkan peranan penting untuk mendorong inovasi, membentuk pemikiran kritikal dan mempromosikan kemajuan sosial, justeru tidak patut ditekan atau dibungkam.

Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh menambah, ahli akademik Malaysia juga harus berani menyuarakan pandangan kerana pemikiran mereka adalah kekuatan yang penting untuk kemajuan negara.

“Saya juga setuju dengan pandangan Menteri Pengajian Tinggi bahawa undang-undang seperti Akta 605 Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 tidak seharusnya menjadi alat untuk menekan pendapat dan pandangan ahli akademik,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sebelum ini, tular surat pekeliling dikeluarkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada seluruh warga akademik dan petugas berhubung arahan supaya pegawai awam tidak boleh mengeluarkan kenyataan awam termasuk di media sosial yang mencetuskan pertikaian banyak pihak.

Mengulas mengenai perkara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, beliau tidak mahu melihat wujud sebarang tindakan untuk mengekang hak dan kebebasan ahli akademik dalam mana-mana universiti.

Malah, tegas Zambry, kebebasan bersuara golongan ahli akademik tetap akan dipertahankan selagi ia berasaskan kepada fakta yang tepat.

Bagaimanapun, UKM menerusi satu kenyataan pada 18 Oktober lalu menafikan menghalang kebebasan mana-mana warga akademik dan petugas untuk mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial.

Sementara itu, Teresa turut memuji pendirian Zambry dalam isu itu yang disifatkan amat penting untuk memastikan universiti terus menjadi tempat pertukaran fikiran dan pertembungan idea dalam pembangunan negara. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here