Anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Mohamad Nizar Najib bercakap kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – “Saya bukan dalang dan serta tidak pernah bersekongkol dengan Jho Low untuk menyeleweng dana 1MDB,” kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anak sulungnya, Datuk Seri Nizar Najib ketika membacakan teks ucapan ayahanda menyatakan, ia terbukti dengan sabitan kes terhadap eksekutif PetroSaudi pada prosiding di Mahkamah Switzerland, baru-baru ini.

“Malah artikel terkini yang terbitan The Edge berdasarkan kepada analisa mereka terhadap kes tersebut serta e-mel dalaman PetroSaudi.

“Ia sekali lagi membuktikan bahawa saya bukanlah dalang dalam kes 1MDB,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurut Najib yang ketika ini menjalani hukuman pemenjaraan sejak 26 bulan lalu mengakui beliau berasa amat terluka mengetahui skandal 1MDB berlaku semasa di bawah pengawasannya sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.

“Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut Najib, rumusan artikel The Edge telah menyatakan bahawa PetroSaudi dan Jho Low bersekongkol untuk memperdayakan beliau.

“Saya tidak sedar PetroSaudi telah mengalihkan dana 1MDB dan saya dengan tidak sengaja menerima wang daripada dana yang telah dihantar oleh 1MDB kepada PetroSaudi.

“Walaupun sukar bagi sesetengah pihak untuk memahami, saya telah dinasihati dan dengan jujur mempercayai pada masa itu bahawa dana yang saya terima adalah merupakan sumbangan politik daripada Kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Selain itu, katanya, sepertimana yang telah ditetapkan dalam prosiding mahkamah, terdapat dua sumbangan besar disahkan pada 2010 diterima daripada Kerajaan Arab Saudi.

“Sumbangan tersebut tidak pernah menjadi subjek dalam mana-mana prosiding jenayah atau sivil.

“Apabila berlaku kebimbangan dan pelbagai pihak mula mempersoalkan apa yang berlaku di 1MDB, saya sepatutnya mengambil tindakan berbeza.

“Saya telah mengarahkan pelbagai siasatan dijalankan namun saya cenderung untuk mempercayai penjelasan oleh lembaga pengarah dan pihak pengurusan 1MDB,” katanya.

Najib memberitahu, apabila beliau mula curiga tentang apa sebenarnya berlaku di 1MDB, kebimbangan utama ialah kedudukan kewangannya dan risiko yang ditimbulkannya terhadap hubungan diplomatik serta dua hala di peringkat tertinggi.

“Saya telah pun dihukum atas tanggungjawab yang telah saya pikul walaupun dengan jelas saya bukanlah dalang kepada skandal 1MDB dan tidak pernah sekalipun bersekongkol dengan Jho Low.

“Saya tidak sepatutnya menjadi mangsa dari segi undang-undang,” katanya.

Najib berkata, beliau masih lagi terkejut dengan mendalam apabila mengetahui kini kepincangan, perbuatan tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan serta pelanggaran undang-undang yang telah berlaku di 1MDB.

“Saya amat kesal dengan apa yang telah berlaku di SRC dan 1MDB.

“Namun dipertanggungjawabkan secara undang-undang untuk perkara yang saya tidak mulakan atau sengaja benarkan.

“Aalah tidak adil kepada saya dan saya berharap serta berdoa agar proses keadilan akan memihak kepada saya dan membuktikan saya tidak bersalah,”katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here