Mohammad Taufik Othman, Pengerusi Eksekutif AFM Fulfillment, dan YBhg. Dato' Sri Khairul Dzaimee bin Daud, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), mengetuai lawatan media ke pusat pemenuhan robotik pintar berteknologi tinggi AFM Fulfillment.

KUALA LUMPUR – AFM Fulfillment (AFM), peneraju dalam penyelesaian e-dagang terkemuka di Malaysia, melancarkan gudang robotik pintar pertama di negara ini, penanda aras baharu dengan memanfaatkan kecekapan dan ketepatan.

Diintegrasikan secara lancar dengan platform pemasaran, kemudahan canggih ini menandakan lonjakan besar dalam industri e-dagang, menyediakan penyelesaian yang lebih pantas, lebih tepat, dan boleh diskalakan mengikut perubahan pasaran.

Pengerusi Eksekutif AFM Fulfillment, Mohammad Taufik Othman berkata, pelancaran ini menekankan potensi sistem robotik termaju, yang mampu beroperasi tanpa henti, sambil mengurangkan kesilapan manusia dan kos buruh secara signifikan.

Menurutnya, dengan teknologi yang inovatif, AFM bersedia untuk mendefinisikan semula pengendalian pemprosesan pesanan dan pengurusan inventori perniagaan, sambil menawarkan penjejakan prestasi masa nyata menerusi papan pemuka yang komprehensif.

“Ini adalah detik transformasi untuk AFM Fulfillment, yang mana sistem robotik pintar kami bukan sahaja mampu menangani cabaran pemenuhan malah membentuk semula pasaran menerusi penggunaan teknologi canggih bagi membina perniagaan yang boleh diskalakan, memaksimumkan ruang, dan meningkatkan produktiviti pelanggan kami,” katanya dalam majlis pelancaran hari ini.

Majlis pelancaran itu telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata, kebolehskalaan sistem ini membolehkan AFM menyesuaikan diri dengan permintaan pasaran yang semakin meningkat, memacu kecekapan operasi dan penjimatan kos.

Jelasnya, komitmen AFM terhadap inovasi, yang mendapat pengiktirafan berprestij Anugerah Inovasi Perkhidmatan, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju penyelesaian e-dagang tercanggih, dengan rancangan untuk berkembang ke Johor, Pulau Pinang, Malaysia Timur dan seluruh rantau menjelang 2027.

Selain logistik, AFM turut menawarkan ekosistem lengkap yang disesuaikan mengikut keperluan jenama e-dagang, yang merangkumi pemasaran, jualan dan perkhidmatan.

Pendekatan holistik ini membezakan AFM daripada pesaing lain, menyediakan alat yang diperlukan oleh perniagaan untuk berkembang dan berjaya dalam pasaran yang serba kompetitif.

Gudang AFM terletak di lokasi strategik turut berfungsi sebagai hab pengedaran berpusat, membolehkan pelanggan memenuhi tahap tuntutan perkhidmatan yang tinggi seperti penghantaran dalam tempoh 24 jam atau penghantaran pada hari berikutnya.

Mohammad Taufik berkata, AFM melangkaui logistik tradisional dengan menetapkan standard baharu dalam industri melalui inovasi teknologi, kerjasama strategik dan tawaran perkhidmatan yang komprehensif, merevolusikan pengalaman untuk perniagaan dan pelanggan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here