KUALA LUMPUR – Lapan barangan termasuk bawang merah besar import dan kacang dal Australia disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024, berkuat kuasa tujuh hari bermula 28 Oktober hingga 3 November ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, SHMMP akan dilaksanakan selama tiga hari sebelum perayaan, semasa perayaan dan tiga hari selepas perayaan.
“Antara lapan barangan lain adalah bawang merah kecil (India) termasuk ros, cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kelapa biji (harga maksimum pada peringkat borong sahaja), kelapa parut (harga maksimum pada peringkat runcit sahaja) dan tomato.
“Kesemua barangan ini dipilih bersandarkan kepada beberapa faktor seperti faktor barangan keperluaan utama setiap kali musim perayaan berlangsung, faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah dan lain-lain.
“Selain itu penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira rakan startegik KPDN iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi kerajana dan pemain-pemain indusutri,” katanya dalam sidang pengumuman SHMMP Deepavali 2024, di sini, hari ini.
Tambah Armizan, SHMMP akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat.
Beliau memaklumkan, harga maksimum yang sudah ditetapkan untuk SHMMP Deepavali di peringkat pemborong dan peruncit boleh dibuat disemak menerusi laman sesawang KPDN di https://www.kpdn.gov.my.
“Pegawai-pegawai peguatkuasa KPDN di seluruh negara akan ditugaskan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan untuk melindungi pengguna.
“Pada masa sama, kita minta orang ramai bekerjasama melaporkan sebarang kes mengenai harga barangan secara terus kepada mana-mana platform kementerian bagi memastikan aduan dapat disiasat dengan segera,” jelasnya. – MalaysiaGazette