KUANTAN – Bekalan semua jenis sayur-sayuran di daerah Kuantan tidak terjejas meskipun peralihan Monsun Timur Laut (MTL) di Pahang dijangka berlaku tidak lama lagi.
Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Besar, di sini, hari ini mendapati harga sayur-sayuran masih sama.
Peniaga, Rajamanikam a/l Y. Mariappan, 60, berkata, bekalan dan harga jualan sayur mungkin terjejas jika memasuki musim banjir nanti.
“Bekalan sayur masih ok. Belum lagi (musim banjir), sekarang masih ok. Dari segi harga boleh tahan lah. Sama sahaja,” katanya.
Tambah beliau, bekalan sayuran kampung diperoleh dari sekitar daerah ini yang dihantar peniaga persendirian di Kampung Soi dan Gambang.
Peniaga, Suziana Mohd Nasir, 39, memberitahu, bekalan sayur di kedainya masih terkawal meskipun terdapat beberapa pembekal terjejas baru-baru ini.
“Bekalan sayur ada ambil daripada Cameron Highland tapi ambil terus dengan pasar borong. Sungai Soi pun ada. Tapi, setakat ni bekalan ok, alhamdulillah.
“Harga pun ada mahal ada murah, tapi tak semua mahal. Harga macam biasa sebab belum musim hujan,” jelasnya.
Namun, dia yang telah berniaga sejak 14 tahun lalu bersama suaminya mengakui akan berlaku kenaikan harga sayuran sehingga dua kali ganda apabila tiba musim MTL kelak, terutama bagi sayuran yang mudah rosak seperti lada dan sayuran berdaun.
Mengikut pengalamannya, tambah beliau, bekalan akan terjejas apabila musim hujan nanti.
Perkara sama turut dikongsi Mohd Nazro Harun, 35, yang bekerja di sini berkata, hampir pasti harga sayur-sayuran akan naik sekali ganda menjelang MTL nanti.
“Sayur setakat ni Alhamdulillah, ok lagi. Takut lepas musim banjir nanti baru teruk dan harga akan naik. Setakat ini masih ok lagi. Setakat ni bekalan sayur masih baik. Harga pun tiada masalah, harga sama masa jual dan ambil stok,” kata Nazro.
Rohani Harun, 68, memberitahu bahawa bekalan sayur kampung seperti pucuk paku dan ulam-ulaman di kedainya masih seperti biasa.
Mula berniaga sejak 30 tahun lepas, Rohani hanya menjual sayur-sayuran tempatan yang dihantar oleh individu ke kedainya.
“Dari segi sayur kampung, biasa sahaja. Harga tak berubah. Bekalan pun macam biasa lagi. Ulam-ulam, pucuk paku, pucuk ubi, nangka muda, keladi, gitu jelah,” ujarnya.
Pada 16 Oktober lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dilaporkan akan bekerjasama dan berbincang dengan kementerian serta agensi berkaitan mengenai isu harga sayur-sayuran yang dijangka meningkat sehingga tiga kali ganda pada hujung tahun ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara tersebut dan akan mengambil langkah intervensi sekiranya berlaku kenaikan secara mendadak. – MalaysiaGazette