Rosni (kiri) sedang mencari ibu kandung kepada anak angkatnya untuk urusan dokumentasi di JKM

BATU PAHAT – Satu keluarga di Parit Sulong di sini sedang mencari ibu kandung anak angkatnya bagi melengkapkan proses dokumentasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Rosni Lizam Ramli, 49, berkata, pihaknya sedang mengesan kedudukan ibu kandungnya Rosmariza Mohamad Ali yang kini berusia 42 tahun setelah terputus hubungan sejak sembilan tahun lalu.

Jelasnya, ini bagi membolehkan proses dokumentasi untuk Nur Ain Batrisa Abdullah, 13, dapat dilakukan dan secara sah menjadi anak angkatnya.

“Nur Ain Batrisa dilahirkan pada 19 November 2011 di Kampung Sri Lalang, Mersing. Dia menjadi anak angkat saya dan suami tetapi urusan dokumentasi masih belum selesai.

“Sebelum diserahkan kepada kami, dia tinggal bersama-sama ibunya selama kira-kira empat tahun yang kemudiannya dijaga oleh datuknya, Wahab Ibrahim di Felda Tenggaroh 3, Mersing.

“Datuknya itu kemudiannya menyerahkan Nur Ain Batrisa kepada saya pada April 2017 di Felda Nitar Timur, Mersing untuk kelangsungan hidup,” katanya ketika ditemui.

Katanya, selepas penyerahan kanak-kanak itu, mereka berpindah ke Parit Sulong tanpa melakukan sebarang proses pengambilan anak angkat yang betul.

Tindakan itu katanya, menyebabkan beberapa perkara berkaitan kebajikan anak angkatnya tidak dapat dilakukan selain mengelak kesulitan pada masa depan.

Menurut Rosni, usaha mengesan kedudukan ibu kandungnya tidak mendatangkan hasil walaupun berulang kali menemui keluarganya di Felda Tenggaroh 3 kerana mereka juga gagal mengetahui tempat tinggal wanita itu hingga sekarang.

“Oleh yang demikian, saya amat berharap Rosmariza atau sesiapa sahaja mengenalinya dapat berhubung dengan saya bagi menyelesaikan urusan penyerahan anaknya itu agar tiada perkara berbangkit kemudian hari,” ujarnya.

Dia boleh dihubungi menerusi talian 017-2775404 bagi mengatur temu janji dan memproses penyerahan mengikut kaedah yang betul.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here