Seorang doktor dan anak lelakinya parah selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu seorang pelajar di Bulatan Jalan Persiaran Seri Impian, Kluang, semalam.

KLUANG – Seorang doktor dan anak lelakinya parah selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu seorang pelajar, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian tersebut berlaku di Bulatan Jalan Persiaran Seri Impian, di sini, pada pukul 4.10 petang.

“Mangsa yang menaiki kereta Perodua Bezza iaitu Dr Agung Nugroho Darmawan, 40, warga Indonesia cedera di kepala, patah tulang rusuk dan bahagian dalaman badan.

“Anaknya pula, Said Hassan, 4, parah di kepala. Dr Agung Nugroho kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.

“Anaknya dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dari HEBHK Kluang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pemandu SUV iaitu seorang pelajar sekolah menengah berusia 18 tahun dan memiliki lesen memandu sah tidak cedera.

Bahrin berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian SUV datang dari Bandar Kluang menghala ke Taman Seri Impian.

“Ketika sampai di tempat kejadian, SUV itu memasuki bulatan dan tiba-tiba Perodua Bezza pula keluar dari simpang sebelah kiri dan dilanggar oleh SUV itu,” katanya.

Bahrin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Komander Operasi, yang juga Pegawai Bomba Kanan II Nurul Azroy Mohamad Yusof dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang berkata, doktor berkenaan tersepit di tempat duduk pemandu dan dikeluarkan menggunakan peralatan khas.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak menggunakan peralatan khas dan berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit dan tidak sedarkan diri serta memberi rawatan awal sebelum ambulans tiba.

“Anaknya juga ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam,” katanya.

Nurul Azroy berkata, seramai tujuh anggota dan masing-masing sebuah jentera FRT dan EMRS terbabit dalam operasi itu yang berakhir 4.40 petang tadi.

Dalam pada itu, video dari papan pemuka kereta yang merakam detik sebelum dan semasa kejadian, tular dalam media sosial hingga mendapat reaksi pelbagai pihak.

Dalam video berdurasi 31 saat itu, memaparkan pemandu SUV berkenaan diekori rapat oleh kenderaan lain sebelum memecut kenderaannya di bulatan berkenaan hingga melanggar Perodua Bezza berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast