Enam sekeluarga daripada etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan pertuduhan pecah rumah, menyimpan barang curi dan masuk Malaysia tanpa pas yang sah.

KOTA TINGGI – Enam sekeluarga etnik Rohingya, termasuk seorang wanita mengandung tujuh bulan, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas 17 pertuduhan pecah rumah, menyimpan barang curi dan masuk Malaysia tanpa pas yang sah.

Semua tertuduh yang berusia 13 hingga 34 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.

Nurjahan Ismail, 34, berdepan 13 pertuduhan membabitkan sembilan pertuduhan menyimpan harta curi, tiga pertuduhan pecah rumah dan satu pertuduhan memasuki rumah tanpa kebenaran.

Suaminya, Muhammad Ibrahim Md Yusof, 24, pula berdepan lapan pertuduhan menyimpan harta curi dan tiga pertuduhan pecah rumah.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh secara bersama-sama di daerah ini dan Mersing antara 7 Mei hingga 25 September lalu.

Bagi kesalahan memecah masuk, mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun atau denda atatu kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara kesalahan menyimpan barang curi antaranya barang kemas, wang tunai dan jam tangan mewah pula kedua-duanya didakwa bawah Sekysen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kesalahan memasuki rumah tanpa kebenaran pula mereka didakwa bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, menantu pasangan tersebut, Mohamad Jamal, 19, dan tiga anak wanita berkenaan berusia 13, 14 dan 17 tahun didakwa bawah Sekysen 6(1)C Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana memasuki negara ini tanpa pas yang sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tememin Baru, di sini, kira-kira pukul 1 petang pada 25 September lalu.

Jika sabit kesalahan keempat-empat mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali serta enam sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid dan Foo Fang Leong tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap semua tertuduh atas alasan seperti Norjahan dan Muhammad Ibrahim yang mempunyai terlalu banyak rekod lampau dan pernah dituduh serta dijatuhi hukuman di beberapa mahkamah di Pontian, Kulai dan Butterworth, Pulau Pinang.

“Mereka juga akan dituduh di beberapa lagi mahkamah seperti Batu Pahat, Mersing, Pontian dan Kulai selepas ini.

“Walaupun belum dituduh, tetapi ia bukti apa yang dilakukan tertuduh seperti Norjahan dan Muhammad Ibrahim ini sangat serius,” katanya.

Bagaimanapun, peguam L Mehnagha yang mewakili semua tertuduh etnik Rohingya itu memohon jaminan diberikan atas beberapa alasan termasuk Norjahan yang sarat hamil dan beberapa tertuduh masih pada usia kanak-kanak.

Ahmad Khairuddin dengan tegas membantah memandangkan tiada sebarang dokumen sokongan dikemukakan pihak pembelaan untuk membuktikan usia tertuduh yang di bawah umur.

Mahkamah tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 November ini sebagai tarikh sebutan semula semua kes.

Media sebelum ini melaporkan kejayaan polis menumpaskan satu sindiket pencuri profesional etnik Rohingya yang aktif memecah masuk rumah dan mencuri barangan berharga membabitkan kerugian RM1.2 juta.

Sindiket berkenaan dianggotai enam entik Rohingya dari Myanmar termasuk empat wanita diketuai wanita berusia 34 tahun yang mempunyai 54 rekod jenayah terutama pecah rumah.

Dua daripada mereka termasuk wanita berusia 34 tahun yang merupakan dalang sindiket itu mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here