Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin berucap pada program Ceramah Umum Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu ketika di Taman Seri, Batang Kali. Foto MOHD ADZLAN, 08 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap masih berfikir seperti pembangkang kerana melaksanakan dasar yang tidak jelas khusus mengenai takrifan kategori golongan T15.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin (PN) berkata, ‘perangai’ berkenaan perlu dihentikan kerana dibimbangi memberi kesan negatif apabila melihatkan kerajaan merangka dasar yang bercelaru.

“Kelemahan kerajaan pada hari ini adalah mereka masih berfikir sebagai pembangkang, bukan sebagai kerajaan. Bila berfikir seperti kerajaan seperti dulu macam-macam janji boleh dibuat, macam-macam nak buat akhirnya tidak buat, jadi perangai itu terbawa-bawa dalam pelaksanaan dasar kerajaan, ini perkara berbahaya kepada kerajaan.

“Jadi saya mohon kepada kerajaan hentikanlah kecelaruan dasar ini saya tidak faham, apa syok sangatkah umum perkara tidak menentu ni? Ini bukan sahaja flipflop, ini pusingan roundabout dah, pusing pusing benda yang sama tanpa satu penjelasan yang jelas,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.

Terdahulu bekas Menteri itu mempersoalkan pengkelasan T15 yang diumum semasa pembentangan belanjawan, baru-baru ini.

Beliau turut membidas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menyatakan bahawa “beliau tidak fikir, bahawa kerajaan akan menggunakan pendapatan isi rumah seperti sekarang”.

“Saudara saudari, memerintah negara menjadi kerajaan mana boleh main rasa rasa, main tidak fikir, mana boleh kita rasa, kita akan, kita fikir, kita lihat… Perkara ini telah diumumkan kepada rakyat

“Sebab itu banyak perkara prosesnya terlalu bercelaru kemudian apabila ditanya soalan kepada Perdana Menteri berkaitan miskin tegar pada 22 Oktober, ketika menjawab dia sebut kerajaan merubah pendekatan menentukan miskin tegar dengan merujuk pendapatan isi rumah berkapita iaitu jumlah pendapatan isi rumah dibahagikan dengan bilangan isi rumah, ini sudah lain pula,” katanya.

Katanya, kerajaan sepatutnya membuat keputusan dengan jelas sebelum mengumumkan dasar yang melibatkan rakyat.

“Saya bawa rakyat melalui ini untuk kita semua lihat, betapa bercelarunya pembuatan dasar kerajaan. Saya sudah sentuh perkara ini banyak kali bahawa kerajaan tidak boleh suka-suka umumkan sesuatu tanpa ada kerangka dasar yang jela. Bincang dulu elok-elok pastikan semua proses, semua elemen, konteks diambil kira sebelum umumkan.

“Kalau ini berterusan kita pembangkang menyentuh perkara ini dikatakan mempolitikkan perkara ini. Bila rakyat menyentuh perkara ini kata ini tidak betul jadi apa yang betul tunjukkan kepada kami,” katanya.

Baru-baru ini, Anwar berkata, beberapa subsidi akan dikurangkan bagi golongan T15.

Bagaimanapun, timbul pelbagai reaksi mengenai pengkelasan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast