Antara pasukan daripada anggota Kumpulan Pertama MALBATT 850-11 yang akan dihantar ke Lubnan bagi misi Pasukan Interim PBB UNIFIL ketika di Pangkalan Udara Subang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 02 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan mengenepikan kebajikan pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) yang bertugas di Lubnan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, bantuan pampasan sekiranya berlaku kecederaan atau risiko kejadian yang lebih besar telah ditetapkan mengikut keperluan.

“Saya tidak nafikan bila kita bertindak di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL), kita mempunyai beberapa arahan operasi dan tindakan kita. Keselamatan anggota itu tetap menjadi keutamaan kita.

“Di samping itu kita melihat kebajikan, kita tahu aspek kebajikan tetap menjadi keutamaan. Kecederaan atau risiko lebih besar semua ini telah digariskan dalam kita menyediakan perkhidmatan kita di Lubnan.

“Kita bukan sahaja melihat penghargaan dari segi kewangan tapi kita ambil kira penghargaan dari segi pengorbanan-pengorbanan yang telah mereka berikan sepanjang berkhidmat di MALBATT,” katanya dalam Dewan Rakyat.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin bertanya apakah Kementerian Pertahanan melihat aspek kebajikan yang diberikan kepada pasukan tersebut sekiranya mereka gugur atau cedera.

Adly berkata, sehingga kini tiada anggota pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 di Lubnan yang terkorban.

“Status semasa Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 di Lubnan masih dalam keadaan terkawal berdasarkan maklumat terkini yang diterima. Tahap keselamatan semasa mereka adalah selamat dan tiada kemalangan jiwa dan kerosakan asset di Kawasan yang dijaga,” ujarnya.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan bersedia dengan pelan evakuasi sekiranya PBB memutuskan untuk mengeluarkan pasukan misi pengaman di Lubnan termasuk Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11, susulan ketegangan di negara tersebut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here