KUALA LUMPUR – Kekerapan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya bakal dipertingkan kepada 2.8 minit pada waktu puncak pada tahun depan berbanding 3 minit ketika ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu diambil bagi memastikan perkhidmatan yang lebih cepat dan selesa serta menjadikannya lebih efisien.
“Bagi waktu puncak kini termasuk pagi dan sebelah petang, kekerapan tren adalah 3 minit berbanding 4 minit dua tahun sebelum ini.
“Tahun depan kita menyasarkan untuk waktu puncak kekerapan tren adalah setiap 2.8 minit dan dengan adanya penambahan tren ini menjadikan bilangan tren secara purata adalah 59 set tren setiap hari,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis sesi taklimat di Kaunter Tiket Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni, di sini, hari ini.
Menurut Anthony, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan terus berusaha meningkatkan jumlah tren yang beroperasi yang kini berjumlah 56 set tren berbanding 41 set tren pada 2022.
Selain itu, beliau memberitahu, sehingga September ini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berjaya mengurangkan gangguan di Laluan Kelana Jaya kepada 21 kes berbanding 49 gangguan sepanjang 2022.
Menurutnya, gangguan berkenaan termasuk jika tren berhenti lebih daripada kadar lima minit.
Katanya, penurunan itu jelas membuktikan komitmen tinggi Prasarana dalam mempertingkatkan penyelenggaraan tren, yang kini menjadi keutamaan dalam usaha meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan sistem pengangkutan awam. – MalaysiaGazette