Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang juga Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa berucap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menumpukan kesiapsiagaan dalam berdepan dengan situasi banjir kilat lebih-lebih lagi Malaysia bakal menyandang Kepengerusian ASEAN pada tahun depan.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, langkah kesiapsiagaan itu perlu kepada tindakan bersepadu yang menjadi tanggungjawab bukan hanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebaliknya, turut melibatkan agensi lain.

Katanya, sebagai tindakan jangka pendek, DBKL telah menyelaras tindakan pembersihan sistem saliran seperti longkang dan juga outlet di kawasan terjejas banjir.

“Ini adalah bagi memastikan kapasiti sistem saliran berada dalam keadaan yang paling optimum.

“Selain itu, DBKL juga kini meneruskan kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran seperti kolam takungan banjir terbuka, kolam takungan bawah tanah (Onsite Stormwater Detention – OSD), penyelenggaraan sungai, parit induk dan longkang di tepi jalan dari masa ke semasa dan berkala terutama apabila ketibaan musim monsun timur laut atau musim tengkujuh.

“Kerja-kerja ini diselaraskan bersama dengan kerjasama pihak JPS KL,” katanya ketika sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang mahu Kementerian menyatakan tahap kesediaan Kuala Lumpur yang merupakan pintu masuk utama negara, bagi Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 memandangkan isu banjir kilat masih belum diselesaikan dan boleh menjejaskan imej serta persiapan negara untuk acara-acara tersebut.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, dalam usaha jangka sederhana menghadapi insiden banjir kilat di Kuala Lumpur, DBKL menyelenggara 15 kolam takungan banjir terbuka dan juga sembilan kolam tertutup bawah tanah.

Semua kolam-kolam takungan banjir itu katanya, telah dilakukan pengorekan kelodak mengikut keperluan semasa dan jadual berkala.

“Longkang-longkang tepi jalan turut dinaiktaraf bukaan sesalurnya bagi mengurangkan implikasi banjir kilat,” ujarnya.

Untuk tindakan jangka panjang pula, beliau berkata, pada 2022 dan 2023, sebanyak tujuh projek mitigasi banjir telah siap, manakala pada 2024, terdapat 14 projek, iaitu dua projek sudah selesai, empat lagi dalam pelaksanaan, dan lapan di peringkat analisa tender.

“Seterusnya bagi tempoh 2025 hingga 2027, empat lagi projek dirancang,” tambahnya.

Dalam pada itu, Zaliha memberitahu, pembangunan Kuala Lumpur telah mengintegrasikan elemen penyesuaian perubahan iklim dan konsep sponge-city (bandar span).

Setiap kelulusan pembangunan katanya, adalah terancang dan perlu mematuhi reka bentuk mengikut Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) Edisi Ke-2 serta kawalan hakisan dan kelodak (ESCPErosion and Sediment Control Plan) untuk mengawal aliran air semasa kerja tanah, bagi memastikan kesan banjir diminimumkan.

“Langkah ini termasuk penerapan Reka Bentuk Bandar Sensitif Air seperti bio-swale, taman hujan, dan tanah lembap. Semua pemaju kini juga diwajibkan untuk melaksanakan MSMA Edisi Ke-2 serta sistem saliran mampan seperti BIOECODS dalam setiap projek pembangunan mereka.

“Kita juga boleh belajar dari negara-negara lain seperti China dan Jepun. Di Jepun sebagai contoh telah diperkenalkan Kandagawa Storm Water Reservoir di Tokyo.

“Kaedah intervensi yang kompleks dan berteknologi tinggi ini mampu menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering berlaku di Kuala Lumpur.

“Walau bagaimanapun, kos yang besar menjadi cabaran kepada Kerajaan dalam usaha negara menuju belanjawan surplus,” katanya. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here