Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali meninjau kawalan harga barang pada Pengumuman Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 di Nu Sentral, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak akan ‘menutup sebelah mata’ berhubung dakwaan kenaikan harga rempah ratus menjelang sambutan Deepavali.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya telah menerima laporan seperti yang didakwa Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA) mengenai kenaikan rempah ratus sebanyak 250 peratus.

“Kita telah semak, memang ada berlaku pergerakan harga barang-barang yang dinyatakan (merupakan) perbandingan dibuat antara bulan Oktober 2023 dengan September ini. Namun bukan untuk semua barang-barang yang dinyatakan tersebut.

“Trend (kenaikan harga) kebiasaan akan ada berlaku bukan hanya musim perayaan. Ada (harga barang) turun (dan) naik bersandarkan kepada faktor penawaran dan permintaan,” katanya dalam sidang media Pengumuman Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024, di sini, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya juga telah mengeluarkan beberapa notis terhadap peniaga yang terlibat bagi menjawab sebab utama menaikkan harga barangan itu.

“Yang penting sebaik sahaja menerima laporan media tersebut kita telah buat pemantauan dan telah mengeluarkan beberapa notis kepada pihak berkenaan untuk mereka menjawab apakah asas kenaikan tersebut.

“Kita sebagai kerajaan tidak akan lepas tangan dengan pergerakan (kenaikan) harga barangan yang perlu hadapi dan sekiranya ada elemen pencatutan maka tindakan akan diambil,” tegasnya.

Pada 16 Oktober lalu, PHA mendapati terdapat peningkatan harga barangan keperluan terutamanya rempah ratus hingga 250 peratus menjelang sambutan Deepavali pada minggu depan.

Presiden PHA, P Murugiah berkata, pihaknya telah melakukan tinjauan di beberapa kedai runcit susulan aduan diterima dan mendapati terdapat peningkatan harga agak membimbangkan berbanding tahun lepas.

Dalam kenyataan, beliau terkejut apabila harga buah pelaga melonjak daripada RM40 sekilogram pada 2023 kepada RM140 sekilogram tahun ini sekaligus menunjukkan kenaikan harga yang tidak masuk akal.

Selain itu, daripada 19 barangan yang dikaji, tujuh daripadanya mengalami kenaikan 100 peratus manakala selebihnya menunjukkan peningkatan 22 hingga 75 peratus.  – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here