KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan disyaki mencuri bateri sebuah kenderaan di parkir kenderaan di pasaraya Giant, Batu Caves, Selangor hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, suspek berusia 31 tahun dicekup sekitar jam 11 pagi tadi di kawasan perniagaan Taman Sri Gombak.

Terdahulu, pihaknya telah mengesan video tular itu di Facebook berdurasi 18 saat memaparkan insiden kecurian bateri kereta.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati, kejadian berlaku pada 22 Oktober sekitar jam 8.08 malam di kawasan parkir pasaraya terbabit melibatkan pemilik kereta merupakan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun.

“Pengadu cuba menghidupkan kenderaanya pada jam 10.30 malam namun tidak berjaya dan hasil pemeriksaan mendapati bateri keretanya tiada.

“Mangsa membuat semakan rakaman papan pemuka (dashcam) mendapati seorang lelaki memakai topi warna hitam dan berbaju gelap telah membuka bonet dengan mengambil bateri kereta itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, susulan tangkapan suspek, polis turut merampas barangan kes iaitu satu bateri kereta dipercayai barang yang dicuri.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan iaitu mencuri mana-mana bahagian komponen sebuah kenderaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumkan berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan V.R Muneesh di talian 019-477734 atau bilik gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here