Home Utama Lelaki menyamar penghantar makanan ragut wanita diburu polis

Lelaki menyamar penghantar makanan ragut wanita diburu polis

KUALA LUMPUR – Penunggang motosikal berpakaian seperti penghantar makanan kini diburu polis selepas meragut rantai leher seorang wanita di Taman Universiti Indah, Seri Kembangan, Selangor, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, semasa kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa yang  berusia 37 tahun berada di kaki lima kedai berkenaan.

“Suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 berwarna biru bertindak meragut rantai loket mangsa yang bernilai kira -kira RM3,000 di kedai buah di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyatan hari ini.

Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan .

Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

“Kita sedang giat mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes ini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan perlakuan jenayah boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya.

Terdahuu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 51 saat memaparkan insiden ragut itu dua penunggang motosikal berpakaian penghantar makanan mengelilingi kawasan berkenaan.

Kemudian lelaki yang berpakaian berwarna hijau memakir motosikalnya lalu mendekati mangsa sementara rakannya menunggu berhampiran.

Lelaki itu kemudian merampas loket milik mangsa menyebabkan wanita terbabit  menjerit meminta bantuan orang ramai yang berada berhampiran.  – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here