Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 18 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Malaysia akan meneruskan keputusan-keputusan strategik yang akan memberi kelebihan kepada kepentingan nasional.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, ia bagi membolehkan negara menerima manfaat bukan hanya dari segi pelaburan dan perdagangan antarabangsa malah memastikan kadar inflasi kekal stabil.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia mengalu-alukan kerjasama dengan kebanyakan negara,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen (Pakatan Harapan).

Terdahulu William meminta penjelasan mengenai perancangan kerajaan demi memastikan inflasi kekal pada paras yang stabil dalam keadaa ketegangan geopolitik yang berterusan.

Menurut Hanifah, rekod menunjukkan kadar inflasi pada bulan Ogos 2024 terus menyederhana iaitu pada kadar 1.9 peratus dan kekal di bawah 2 peratus sejak Julai 2023.

Namun katanya,  ketegangan geopolitik yang berterusan di peringkat global serta prospek tahun 2025 dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang semakin baik dijangka memberi tekanan kepada inlfasi negara.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meringankan kos sara hidup rakyat yang terkesan akibat inflasi.

“Usaha jangka pendek yang telah dikenal pasti merangkumi program bantuan tunai Kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah, STR, dan Sumbangan Asas Sara Hidup, SARA yang akan diteruskan dengan peruntukan lebih tinggi pada tahun 2025;

“Kedua, inisiatif Payung Rahmah seperti jualan rahmah akan diperhebat dengan menawarkan barangan asas pada harga yang berpatutan dan meningkatkan pendapatan rakyat secara keseluruhan melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam bagi sektor awam serta Dasar Gaji Progresif dan peningkatan kadar gaji minima bagi pekerja sector swasta,” ujarnya.

Dalam masa yang sama katanya, kerajaan juga konsisten berusaha meningkatkan bekalan dan jaminan makanan tempatan.

“Kerajaan juga akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan harga yang berpatutan dan mengelakkan aktiviti pencatutan.

“Usaha memastikan kestabilan inflasi sesebuah negara turut memerlukan kerjasama sektor swasta,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here