KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menafikan Belanjawan 2025 tidak mesra terhadap Kampung Baru Cina.
Kor Ming berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperuntukkan sebanyak RM84 juta kepada Kampung Baru Cina untuk menaik taraf kemudahan asas dan sosial bagi kegunaan komuniti.
“Itu adalah satu lagi pembohongan Malaysia Crook Assosiation (Persatuan Penipu Malaysia), itu memang satu tohmahan yang tidak betul.
“Belanjawan ada peruntukan pembangunan dan peruntukan mengurus, tahun hadapan Kampung Baru Cina dapat RM98.5 juta.
“Mana ada peruntukan kurang, ini sengaja beri persepsi negatif untuk menunjukkan niat jahat golongan tertentu,” katanya kepada media pada sesi libat urus Menteri KPKT berkenaan belanjawan kementerian itu, di sini, hari ini.
Pada Jumaat lalu, Anwar berkata, peruntukan sebanyak RM84 juta adalah untuk menyelaras keperluan di perkampungan kaum India dan akan meningkatkan usaha serta menggalakkan pemilikan rumah pertama.
Jelas Anwar, KPKT dipertanggungjawabkan untuk menyelaras keperluan tersebut. – MalaysiaGazette