Mohamed Khaled (tiga dari kanan) ketika hadir Eksesais Panah Jaguh Siri 2/2024 bertempat di Lapang Sasar Bumi ke Udara (LSBU), Tanjung Logok, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Kementerian Pertahanan (Mindef) akan mencari alternatif penyelesaian sekiranya kontrak perolehan perkhidmatan sewaan helikopter untuk Tentera Darat Malaysia (TDM) dibatalkan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penyelesaian jangka pendek untuk tempoh lima tahun bagi kegunaan pasukan keselamatan itu akan dilakukan TDM.

Menurutnya, langkah tersebut selepas kontrak perolehan tersebut yang diberi tempoh sehingga hujung bulan ini kepada pembekal dibatalkan.

“Kita akan fikirkan bagaimana kita nak cari alternatif. Kita perlu memahami bahawa Black Hawk yang awal itu hanyalah untuk disewa dan hanya dalam tempoh lima tahun dan bukannya untuk dibeli secara kekal.

“Dalam keadaan kita batalkan itu saya telah minta pihak tentera darat untuk mencari alternatif lain kerana adalah ‘stop gap’ sementara bagi tempoh lima tahun untuk kegunaan tentera darat dan itu biar bahagian teknikal tentera darat tentukan, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir Eksesais Panah Jaguh Siri 2/2024 bertempat di Lapang Sasar Bumi ke Udara (LSBU), Tanjung Logok, di sini, hari ini.

Terdahulu pada bulan lalu, Mohamed Khaled dilaporkan berkata, Mindef memberi tempoh kepada pihak pembekal sehingga Oktober ini untuk memenuhi penghantaran empat Black Hawk.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, laporan penuh insiden Kapal Diraja (KD) Pendekar yang tenggelam di Perairan Tanjung Penyusop akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Kapal itu sudah pun dikeluarkan daripada air dan dibawa ke kawasan yang boleh dibuat kajian mendalam apa punca dan sebagainya. Tidak lama lagi akan keluarkan laporannya dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum ini Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut berkata, punca dan faktor-faktor terlibat yang membawa kepada insiden tenggelamnya KD Pendekar masih disiasat oleh Lembaga Siasatan.

Pada 25 Ogos lalu media melaporkan KD Pendekar mengalami kebocoran dan kebanjiran besar ketika melaksanakan penugasan operasi pada kedudukan 2 batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop, Johor pukul 12 tengah hari.

Kebocoran itu dipercayai berpunca akibat kapal terlanggar dengan objek bawah air. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here