Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang murid tahun lima patah ibu jari kaki kanan selepas dilanggar oleh seorang lelaki mabuk ketika sedang melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Port Dickson, pagi tadi.

Mangsa turut luka pada kaki dan tangan akibat kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, kejadian jam 7.10 pagi itu berlaku ketika Perodua Myvi dipandu suspek dalam perjalanan dari Pekan Port Dickson menghala ke Teluk Kemang.

“Semasa murid lelaki terbabit melintas jalan ke sekolah, pemandu kereta itu gagal mematuhi lampu isyarat merah dan telah melanggarnya,” katanya.

Bertindak atas kejadian itu, polis telah menahan pemandu kereta dan menjalankan ujian saringan alkohol .

“Ujian yang dilakukan menunjukkan bacaan alkohol pemandu berkenaan sebanyak 230mg alkohol/100ml darah (lebihan 153mg alkohol/100ml darah).

“Suspek juga direman bermula pada hari ini sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987, sabit kesalahan pemandu boleh dikenakan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here