MELAKA – Secara purata, penduduk Melaka yang tamak termasuk mahukan pelaburan skim cepat kaya ditipu lebih RM200,000 sehari dengan angka terkumpul merekodkan lebih RM61 juta sejak Januari lalu sehingga semalam.
Mendedahkan perkara itu, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, angka itu terus meningkat walaupun pelbagai program kesedaran sudah dilakukan Polis Melaka.
“Mengikut rekod Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, jumlah terkumpul daripada mangsa scammer (sindiket penipuan) setakat semalam berjumlah RM61,644,080.46.
“Angka itu menunjukkan trend peningkatan sekitar lebih RM200,000 sehari apabila rekod pada tiga hari sebelumnya adalah RM61,073,897.07, RM61,200,957.07 dan RM61,424,860.12,” katanya menerusi status media sosialnya hari ini.
Mohd Noor Helmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong berkata, beliau adalah Timbalan Exco yang bertanggungjawab menerima laporan kes berkaitan scammer di Melaka untuk membantu polis mengurangkan statistik berkenaan.
“Semua kes scammer ini melibatkan penipuan pelaburan, tawaran kerja kosong, pembelian barang dan percintaan dalam talian.
“Tolonglah rakyat jangan mudah sangat terpedaya dan tamak haloba sebaliknya sentiasalah semak sebelum membeli selain berbincang dengan dengan ahli keluarga jika merasakan ada yang tak kena,” katanya. – MalaysiaGazette