KUANTAN – Seorang Pengawal Keselamatan meninggal dunia apabila motosikal ditunggangnya melanggar seekor kerbau yang tiba-tiba melintas di Kilometer 29, Jalan Temerloh-Bandar Jengka, Maran pagi tadi.
Kemalangan itu membabitkan penunggang dua buah motosikal lain yang tidak sempat mengelak dan turut melanggar kerbau terbabit yang terbaring di tengah jalan.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 7.26 pagi melibatkan tiga buah motosikal jenis Honda NF1004-MA, Yamaha 135LC ES dan Yamaha Y15ZR.
“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa yang dari arah Jengka 16 menghala ke arah tempat kerjanya di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar seekor kerbau yang tiba-tiba melintas jalan dari kiri ke kanan,” katanya dalam kenyataan.
Tidak lama kemudian, katanya datang sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC ES ditunggang remaja lelaki berusia 15 tahun dan Yamaha Y15ZR ditunggang seorang pembantu kedai berusia 21 tahun turut melanggar kerbau itu.
Akibat kemalangan tersebut, Kamarulzaman Ariffin yang menunggang motosikal Honda NF1004-MA disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kedua-dua mangsa lain iaitu Muhammad Rasydan Darwisy, 15 yang mengalami kecederaan sedang diberikan rawatan di Klinik Kesihatan Pekan Awah, manakala Muhammad Naqiuddin Ramlan, yang cedera di bahagian kepala pula sedang menerima rawatan di HOSHAS.
Mohamad Zamri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ). – MalaysiaGazette